suria

Dada, Cebisan Daging Bayi Dikerat 15 Dijumpai

Loji kumbahan di Kempas Permai, Johor Baru, lokasi di mana 15 bahagian badan bayi ditemui tersangkut pada perangkap sampah.
JOHOR BAHARU: Dada dan cebisan daging dari badan bayi yang dikerat 15, telah ditemui pihak penyelenggaraan flat di loji kumbahan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, petang Selasa.

Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad berkata bahagian badan itu telah diserahkan kepada pihak hospital bagi tujuan bedah siasat sebelum dikebumikan.

Namun, usaha mencari kepala dan bahagian lain bayi tersebut masih diteruskan, kata Rusli.

"Kes ini masih lagi dalam siasatan, setakat ini tiga orang telah tampil memberi maklumat. 

"Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai maklumat yang dicari," kata beliau kepada pemberita mengenai perkembangan terkini kes bayi dikerat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara, di sini petang Rabu.

Beliau berkata bahagian kepala dan alat kemaluan bayi antara anggota badan yang masih belum ditemui.

Rusli berkata maklumat daripada penduduk sekitar amat diperlukan bagi meneruskan usaha mencari anggota bayi berkenaan selain mencari suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.

Pada kejadian Ahad (17 Mei), pekerja di loji kumbahan PPR berkenaan menjumpai anggota-anggota badan bayi yang dipercayai berusia tujuh bulan yang tersekat di perangkap sampah loji berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis menangkap seorang lelaki berusia 30an pada Isnin (18 Mei) yang dipercayai terlibat dengan kes seorang lelaki dilaporkan hilang beberapa bulan lalu, disyaki dibunuh, di daerah Muar. 

"Suspek yang telah ditangkap itu telah mendedahkan lokasi pembunuhan berikut kepada polis semalam.


"Polis dengan kerjasama pakar patologi telah menemui tulang manusia serta helaian kain yang dipercayai digunakan untuk membungkus mangsa setelah dibunuh" kata beliau.

Rusli berkata suspek telah membunuh mangsa bersama seorang lagi individu, namun individu berkenaan sedang menjalani hukuman di penjara kerana kes jenayah yang lain.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tindakan sedang dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan tersebut," kata beliau.

Difahamkan, suspek kedua telahpun dipenjara sejak lebih lima bulan lepas atas kesalahan berkaitan dengan dadah. 
Penemuan tulang dipercayai rangka manusia itu dijumpai tertanam berhampiran deretan rumah sewa di Parit Tiram, Jalan Haji Abdullah, Muar.
kerat 15, Datuk Rusli Ahmad

Artikel Lain