suria

SKMM, Kastam Pastikan GST Kad Prabayar Dilaksana Dalam Tempoh 6 Bulan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan pengenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berasaskan penggunaan bagi perkhidmatan prabayar telefon dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, SKMM dan JKDM juga memastikan semua syarikat telekomunikasi mematuhi arahan kerajaan untuk melaksanakan kaedah itu seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.

"Selain itu, pengauditan juga akan dilakukan bagi memastikan ketepatan nilai potongan GST berdasarkan nilai kredit yang telah digunakan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa kabinet bersetuju agar GST ke atas perkhidmatan prabayar telefon dikenakan berdasarkan penggunaan.

Kerajaan juga bersetuju agar kadar nilai kad prabayar telefon ditetapkan pada harga RM10 akan mendapat nilai yang sama apabila diaktifkan.

Menurut Ahmad Shabery, langkah itu kerana kerajaan berpandangan ia adalah lebih sesuai di mana kerajaan tidak akan mengenakan cukai sebelum perkhidmatan digunakan.

Halim berkata, SKMM turut akan memantau saranan Ahmad Shabery yang meminta syarikat telekomunikasi melaksanakan diskaun bagi perkhidmatan mereka untuk kumpulan sasar tertentu seperti golongan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pihaknya akan mempergiat pemantauan ke atas pembangunan proses penukaran GST berasaskan penggunaan untuk tambah nilai prabayar itu.

Katanya, ia bagi memastikan pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan telus serta mengelak kekeliruan yang akan timbul pada masa akan datang.

Katanya, buat masa ini, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar akan diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga sistem 'beli RM10 dapat RM10' dilaksanakan.

GST, Kad Prabayar

Artikel Lain