suria

Suspek Kes Tembak Pemungut Hutang Ditahan

Kejadian tembakan yang mengakibatkan kematian pemungut hutang di Taman Carissa Villa, malam Selasa.

BUTTERWORTH: Polis menahan suspek yang disyaki menembak mati seorang pemungut hutang ketika menunggang motosikal di Taman Carissa Villa, Mak Mandin dalam serbuan di sebuah rumah di Permatang Pauh, pada Jumaat malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, pasukan polis yang diketuai Assisten Supritendan Mohd Yusof Ibrahim menyerbu sebuah rumah di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh pada jam 8.10 malam di sini.

Katanya, susulan serbuan itu, suspek yang berusia 29 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah berkaitan rompakan ditahan, selain merampas pistol yang ditemui ketika menggeledah rumah itu.

"Polis kemudiannya membawa suspek ke Sungai Prai bersebelahan Jambatan Tuanku Abdul Rahman, iaitu lokasi di mana suspek yang masih bujang dan menjalankan perniagaan kedai kopi di Seberang Jaya mendakwa membuang pistol yang digunakan ketika kejadian tembakan itu pada Selasa malam.

"Mahkamah Majistret membenarkan perintah reman untuk menahan suspek selama seminggu," kata Abdul Rahman kepada wartawan di lokasi kejadian.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Mohd Shukri Awang serta Mohd Yusof.

Abdul Rahman menambah, enam anggota polis marin masih menjalankan operasi mencari di sungai berkenaan.

"Penyiasatan awal yang dijalankan mendedahkan motif utama pembunuhan adalah provokasi," katanya dan turut menambah bahawa kes tersebut dianggap selesai.

Mangsa, Goh Wooi Loon, 31, dijumpai mati berlumuran darah di lorong belakang rumah kedai di Taman Carissa Villa, dipercayai, diekori suspek ketika mangsa dalam perjalanan dari Taman Bagan Ajam, sebelum bertindak menembaknya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Artikel Lain