suria

GST: KPDNKK Bawa 44 Kes Ke Mahkamah

Gambar hiasan.

KOTA BARU: Sebanyak 44 kes bersabit kesalahan di  bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April, sebanyak 815 kertas siasatan telah dibuka di seluruh negara.

"Kita buka kertas siasatan di bawah pelbagai kesalahan antaranya ada yang mencatut, tidak letak tanda harga dan kesalahan lain.

"Kita harap setiap minggu kita akan dapat bawa kes ini ke mahkamah dan kita sedang bekerja keras dengan Jabatan Peguam Negara untuk muktamadkan, kita perlu lengkapkan siasatan dahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Jubli Emas 50 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Abd Aziz.

Alias berkata pihaknya telah melakukan 283,246 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negara melibatkan kompaun bernilai RM122,000.

"Kita juga telah merampas pelbagai barang seperti tong gas petroleum cecair (LPG) dan lain-lain bernilai RM134,000 dalam pemeriksaan itu.

"Kita ingin sampaikan mesej kepada masyarakat yang mengatakan kita tidak memainkan peranan efektif, kita setiap hari ada pegawai yang membuat pemantauan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Alias berkata dakwaan kononnya kesemua harga barang telah naik sejak pelaksanaan GST pada 1 April lepas adalah tidak benar.

"Kajian dibuat pada minggu ketiga Mac dan minggu ketiga April terhadap 446 barangan mendapati di semenanjung 35 peratus harga barang turun.

"Sementara di Sarawak sebanyak 40 peratus harga barang turun, Sabah pula 41 peratus harga barang turun, kenaikan barang berlaku atas pelbagai sebab, pengguna kena lebih bijak membuat pilihan," katanya.

Beliau berkata sebarang aduan berkait kenaikan harga barang atau apa juga kes boleh dikemukakan menerusi sistem e-aduan kementerian itu.

GST, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain