suria

Kawalan Keselamatan Ketat Di Pusat Tahanan

SIK: Berdasarkan pemerhatian dari pondok pengawal ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik iaitu kira-kira 35 kilometer dari sini tidak kelihatan sebarang tanda-tanda atau pergerakan 1,158 tahanan warga Rohingya dan Bangladesh yang dipindahkan ke sini sejak beberapa hari lau.

Tinjauan The Star mendapati hanya kakitangan Jabatan Imigresen dan kakitangan dapur kadang-kadang dilihat melalui pintu dan seluruh tempat itu dikawal ketat.

Beberapa bangunan dapat dilihat dari jauh tetapi tidak ada sebarang aktiviti di luarnya.

Seorang pengawal keselamatan bertugas berkata, bangunan yang menempatkan tahanan berada jauh daripada pandangan mata.

"Anda masih perlu meneruskan perjalanan kira-kira 200m daripada pusat pemeriksaan ini sebelum sampai ke sana. Ia tidak boleh dilihat dari jalan utama di sini," katanya.

Tambahnya, sesiapa yang mahu melawat tahanan perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Imigresen negeri.

"Ini adalah kawasan larangan dan orang-orang yang dibenarkan sahaja boleh masuk. Mereka yang ingin membawa makanan untuk orang Rohingya dan Bangladesh perlu menulis surat dan mendapatkan kebenaran.

"Walau bagaimanapun, hari ini adalah hari cuti hujung minggu dan pejabat ditutup," katanya pada Jumaat.

Sementara itu satu sumber yang biasa dengan isu ini berkata tidak ada - atau tiada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan pun dibenarkan untuk berjumpa dengan orang yang baru dibawa masuk kerana "siasatan sedang dijalankan dan kami tidak mahu menjejaskannya".

Beliau berkata bantuan dalam apa jua bentuk - makanan atau pakaian - boleh disalurkan melalui Jabatan Imigresen.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku kesesakan, sumber itu berkata bahawa depot berkenaan boleh menampung sehingga 2,000 orang, dengan paramedik dan doktor sentiasa bersiap sedia.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seramai 1,158 warga Myanmar etnik Rohingya termasuk warga Bangladesh yang ditahan di Langkawi dipindahkan ke depot tahanan di sini.

Kumpulan terakhir iaitu kira-kira 300 pendatang tanpa izin tiba dengan menaiki lapan trak pada pukul 8:15 malam Khamis lalu.

Mereka sebelum ini diangkut dari pangkalan tentera laut di Bukit Malut di Langkawi dengan kapal tentera laut KD Mahawangsa sebelum menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk ke jeti Kuala Kedah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain