suria

Hampir 1,200 Pati Rohingya, Bangladesh Di Langkawi Ke Depot Tahanan Mulai Hari Ini

Sebahagian daripada 1,000 Pati warga Bangladesh dan Myanmar Rohingnya ketika ditahan di perairan Langkawi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di Langkawi, Isnin. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Seramai 1,158 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar etnik Rohingya dan Bangladesh yang ditahan di Langkawi akan dihantar ke depot tahanan sementara secara berperingkat sebelum urusan pengusiran ke negara masing-masing secepat mungkin.

Difahamkan, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada pagi Selasa melibatkan beberapa agensi penguatkuasa.

Menurut sumber kepada mStar Online, pihak polis memaklumkan jumlah 1,158 Pati setakat pagi Selasa melibatkan 486 etnik Rohingya dan 672 warga Bangladesh.

Sumber itu memberitahu, ketika ini semua Pati terlibat ditempatkan di kawasan pengumpulan sementara di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) di pulau itu sebelum dihantar ke depot tahanan.

“Kesemua Pati ini akan dihantar secara berperingkat mulai hari ini (Selasa) sehingga Jumaat, bergantung kepada kapasiti depot tahanan dan kemudahan pengangkutan bagi membawa mereka.

“Setakat ini, mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah. Bagaimanapun, depot tahanan ini dengan kapasiti kira-kira 2,000 sudah menampung lebih 1,000 Pati pada masa ini.

“Jadi, kemungkinan besar sebahagian daripada 1,158 Pati akan dihantar ke depot tahanan atau pusat tahanan lain berhampiran. Bagaimanapun, masih belum diputuskan kerana mahu melihat berdasarkan kapasiti yang dapat menampung bakinya,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada tengah hari Selasa.

Menurut sumber, pada masa ini terdapat 12 depot tahanan dan lebih 20 pusat tahanan di seluruh negara yang menempatkan Pati.

"Kesemua Pati yang ditahan di Langkawi ini akan melalui proses dokumentasi sebelum urusan pengusiran mereka dilakukan. Dokumentasi ini akan dibuat pihak Imigresen," katanya.

Mengenai mesyuarat itu, sumber tersebut memberitahu bahawa ia dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiuasaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Adenan Ad Rahman dan dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

"Operasi Pati Rohingya dan Bangladesh di Langkawi ini melibatkan semua agensi penguatkuasa yang berkaitan. Kita semua bekerjasama bagi menangani isu ini," katanya.

Dilaporkan, cubaan 1,051 Pati Myanmar dan Bangladesh untuk memasuki negara ini gagal apabila mereka ditahan polis setelah bot yang dinaiki mereka tersangkut di kawasan pemecah ombak berhampiran Hotel 4 Point, Jalan Sungai Kuala Muda, Padang Matsirat, Langkawi pada Isnin.

Kesemua Pati ditahan selepas mereka ditemui di Pantai Kuala Kedah dekat Padang Mat Sirat pada pukul 1.30 pagi Isnin dan Kuala Temeyong, Kedawang, kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurut sumber itu lagi, jumlah terkini Pati yang ditahan iaitu 1,158 orang kemungkinan penambahan baharu bagi Pati yang ditahan oleh pihak berkuasa selepas mereka dikesan cuba menyembunyikan diri.

“Kita percaya bilangan Pati yang masih bersembunyi lebih ramai dan operasi bersama agensi penguatkuasa akan dijalankan bagi mengesan saki baki mereka,” katanya.

Dilaporkan, kesemua mereka dipercayai meninggalkan Bangladesh dan Myanmar melalui sindiket di negara tersebut dan berada di Thailand terlebih dahulu sebelum cuba memasuki negara ini melalui perairan Langkawi.

Pati, Langkawi, Myanmar, Rohingya, Bangladesh

Artikel Lain