suria

Najib Laung Komitmen Terus Berkhidmat Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat yang menjadi dorongan kepadanya selama 40 tahun mengabdikan diri dalam politik.

Perdana Menteri merangkap Presiden Umno itu berkata beliau akan meneruskan semua dasar yang dilaksana bagi membantu rakyat walaupun ada antaranya disifatkan tidak popular.

Namun beliau yakin ia akan memberi kesan positif kepada rakyat dan negara pada jangka panjang.

"Bila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah memilih slogan '1Malaysia - Rakyat Didahulukan (Pencapaian Diutamakan) dan saya mesti mengingatkan diri saya bahawa rakyat mesti didahulukan. 

"Apabila rakyat senang dengan parti kita dan kerajaan, apabila program kita sampai kepada rakyat ... dalam apa jua keadaan, perjuangan saya adalah untuk mereka yang mahukan Malaysia maju dan adil," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-69 Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam Isnin. 

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno bersama-sama kira-kira 3,000 pemimpin dan anggota Umno.

Najib menjelaskan bahawa antara matlamat perjuangannya adalah untuk menjaga kebajikan rakyat seperti menyediakan rumah mampu milik, merapatkan jurang
pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menangani kos sara hidup rakyat.

Katanya, kejayaan Umno juga bukan hanya bergantung kepada anggotanya sahaja malah rakyat secara keseluruhannya yang menilai setiap gerak geri dan keputusan yang dibuat parti itu.

"Ingatlah bahawa sebagai parti yang mengamalkan demokrasi pada akhirnya rakyatlah yang menentukan kita semua.

"Sambil saya sanjung tinggi lafaz sokongan anggota Majlis Tertinggi Umno (kepada saya), saya sedar dengan segala rendah diri bahawa saya perlu memimpin
sebuah parti yang mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat Malaysia," katanya.

Dalam ucapan itu, Najib menarik perhatian bahawa Umno telah melalui pelbagai ujian getir sejak penubuhannya dan berjaya menghadapi semua ujian itu bukan
sahaja atas kebijaksanaan pemimpin terdahulu tetapi juga sokongan kuat anggota parti kepada pemimpin pada masa itu.

PM, Najib Razak, Umno

Artikel Lain