suria

Tiada Biasiswa Mara Untuk Nur Fitri Sambung Pengajian - Shafie

Nur Fitri Azmeer Nordin.

PETALING JAYA: Nur Fitri Azmeer Nordin, pelajar Kolej Imperial London yang didapati bersalah kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan Mara untuk meneruskan pengajiannya.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kementerian tersebut dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memandang serius kes Nur Fitri sambil menambah tiada rayuan akan dibuat berhubung sabitan tersebut.

"Saya tidak menyokong pornografi dan saya menolak sekeras-kerasnya aktiviti yang berkaitan dengannya.

"Terpulang kepada keluarga Nur Fitri sekiranya mereka mahu membuat rayuan bagi pihaknya. Tiada rayuan dibenarkan untuk Nur Fitri meneruskan pengajian di bawah tajaan Mara," kata Shafie.

Beliau berkata setiap pelajar tajaan Mara harus mematuhi undang-undang tidak kira dimana sahaja mereka berada.

Nur Fitri ditahan dalam satu serbuan di kediamannya di Queensborough Terrace dekat Hyde Park pada 20 November tahun lalu.

Dia mengaku bersalah dan hukuman penjaranya dimulakan pada April lalu selepas ditahan memiliki kira-kira 30,000 imej dan video kanak-kanak didera termasuk imej 'kategori A' yang melibatkan serangan seksual terhadap kanak-kanak.

Nur Fitri, Mara, pedofil

Artikel Lain