suria

Polis Terima Lebih 100 Laporan Keganasan Di Permatang Pauh

KUALA LUMPUR: Polis menerima lebih 100 laporan berhubung beberapa insiden keganasan yang berlaku sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Khamis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu mencerminkan mereka tidak bertamadun.

"Saya rasa masyarakat negara ini sudah matang dan tidak sepatutnya berlaku insiden seumpama itu. Mereka melakukan provokasi terhadap pihak penguat kuasa, bergaduh sesama penyokong parti dan khianat harta benda kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Pada Khamis, PRK itu dicemari dengan beberapa insiden keganasan, antaranya pertelingkahan yang hampir menjurus kepada pergaduhan antara penyokong PKR dan PAS, seorang petugas media dan seorang anggota polis cedera akibat dibaling batu dan botol air, serta seorang petugas wanita ditumbuk semasa proses pengundian.

Keadaan itu memaksa pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan lawatan rutin ke pusat-pusat daerah mengundi setelah dinasihati polis.

Menyentuh mengenai laporan polis berhubung kebocoran maklumat di bahagian pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), Khalid berkata kes berkenaan berkemungkinan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Pada Khamis juga, Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Datuk Johan Abdullah melalui kenyataan media menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) seperti yang dilaporkan sebuah blog.

Beliau berkata kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan berkenaan.

Terdahulu, Khalid menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zubaidah Md Ismail kepada DCP Datuk Abdul Ghafar Rajab yang memangku jawatan itu.

Datuk Zubaidah, yang bersara hari ini, berkhidmat dengan PDRM sejak 40 tahun lalu, merupakan wanita pertama mengetuai JIPS sejak jabatan itu ditubuhkan pada 24 Julai 2014.

Zubaidah menasihati golongan generasi Y agar bekerja dengan penuh komited dan taat kepada pucuk pimpinan PDRM.

Permatang Pauh, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Lain