suria

55 Peratus Wanita Dalam Tenaga Kerja Tahun Ini - Najib

Najib (tengah) diiringi Rohani Karim (tiga kanan) ketika hadir ke majlis Women On Board Club Malaysia di Kuala Lumpur pada Jumaat. - fotoBERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat 55 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita tahun ini.

Najib berkata ini boleh dicapai kerana penyertaan wanita dalam pekerjaan telah mencapai 53.6 peratus pada 2014 berbanding hanya 46 peratus pada 2009.

"Ini menyaksikan kira-kira 600,000 penyertaan wanita dalam tenaga kerja, dan tambahan sebanyak 0.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan.

"Ini adalah keputusan yang ketara dan saya yakin bahawa pada kadar kemajuan ini, kita akan capai sasaran 55 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya dalam ucaptamanya pada program 'Lead the Change - Women On Board' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini Jumaat.

Perdana Menteri berkata ketika Malaysia berada di peringkat akhir untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ia adalah penting untuk memanfaatkan bakat dan tenaga wanita di Malaysia, sebagai rakan kongsi dalam mencapai berpendapatan tinggi, membina ekonomi yang produktiviti tinggi dengan asas-asas yang betul untuk pertumbuhan mapan.

Mengenai peranan wanita dalam peringkat pengurusan atasan, Najib mengimbau bahawa pada 2011, kerajaan telah memperkenalkan sasaran 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan menjelang 2016.

"Kami mengambil pendekatan secara sukarela dengan menggalakkan orang ramai dan syarikat-syarikat yang tersenarai untuk menyahut cabaran dan meningkatkan kepelbagaian pengurusan dan pentadbiran mereka.

"Dan kita telah mencapai kemajuan yang signifikan. Dalam kerajaan, wanita mewakili 32.5 peratus dalam gred Jusa C dan ke atas," katanya.

Najib menjelaskan, menurut kajian 2015 mengenai gaji oleh Hays, firma pengambilan global, 34 peratus jawatan pengurusan di Malaysia dipegang oleh wanita, menjadikan Malaysia, negara kedua di Asia selepas China.

Berbanding sektor kerajaan, Najib berkata sasaran mencapai 30 peratus wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat-syarikat awam tersenarai, masih gagal.

"Kini, angka itu hanya 16 peratus untuk Lembaga syarikat awam, dan bagi syarikat tersenarai, peratusannya lebih kecil pada kadar 10.3 peratus.

"Oleh itu, saya menggesa pemimpin dalam kalangan anda untuk melakukan lebih lagi, untuk mengambil langkah seterusnya bagi memecahkan siling kaca ini dan melantik wanita sebagai Ahli Lembaga anda," katanya.

Pada majlis berkenaan, Najib mengumumkan bahawa mulai sekarang syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), secara polisinya akan membenarkan eksekutif mereka untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah syarikat tersenarai lain.

Berikutan itu, beliau juga menggesa semua syarikat tersenarai untuk mengikutnya selain memanfaatkan kumpulan eksekutif wanita mereka sendiri apabila melantik Ahli Lembaga Baharu.

"Mudah-mudahan semua memperoleh faedah daripada kebijaksanaan dan kepakaran eksekutif wanita kami," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat tersenarai pada masa akan depan akan diminta mendedahkan komposisi dan kepelbagaian Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan atasan mereka dari segi jantina, etnik dan umur dalam laporan tahunan mereka.

Najib kemudian melancarkan 30% Club, cawangan Malaysia yang bertujuan untuk mencapai keseimbangan jantina yang lebih baik di semua peringkat organisasi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

wanita, tenaga kerja, Najib Tun Razak

Artikel Lain