suria

"Tiada Peluang Kedua Untuk Nur Fitri," Kata KJ Kepada Mara

Khairy Jamaluddin
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah bersuara terhadap tawaran peluang kedua kepada pelajar Malaysia di London yang bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Khairy berkata Nur Fitri Azmeer Nordin, yang ditahan pada November bagi kesalahan itu boleh berusaha mendapatkan peluang kedua untuk dirinya sendiri tanpa tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas menjalani hukuman penjara dan pemulihan yang panjang 'paedo' boleh usahakan peluang kedua by himself. Tak perlu tajaan MARA etc," Khairy menulis di akaun Twiiternya, Rabu.

Menggunakan hashtag #NoSecondChance , yang menjadi topik trending di Twitter, Khairy memberi amaran kepada Mara berhubung pembaziran dana awam.

"Harap MARA tidak membazir duit rakyat," katanya.

Mara, yang menaja pengajian Nur Fitri di Britain, dilaporkan berkata akan menawarkan peluang kepada Nur Fitri untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan.

Nur Fitri, seorang sarjana matematik berusia 23 tahun di Imperial College di London, didapati bersalah memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video ekstrem pornografi kanak-kanak.

Dia diserbu di bilik kediamannya di Queensborough Terrace November lalu, di mana polis menemui komputer ribanya sedang terbuka, di sebelah patung kanak-kanak lelaki bersaiz sebenar.

Dia memiliki 601 video dan imej kategori A (penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual melampau kanak-kanak), dan beribu-ribu bahan kategori B dan bahan C.

Satu petisyen juga telah dimulakan di www.petitionsite.com oleh pengguna yang dikenali sebagai Hanie Razaif-Bohlender menuntut badan milik kerajaan tidak memberikan peluang kedua.

Pada tengah hari, petisyen itu telah mendapat lebih dari 1,000 tandatangan.

Artikel Lain