suria

Hubungan Dua Hala Malaysia-Singapura Terbaik Dalam Sejarah - Najib

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada sidang media bersama di Singapura, Selasa.

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura adalah pada tahap terbaik dalam sejarah dan kedua-dua pihak boleh memanfaatkannya dengan mewujudkan peluang lebih baik menuju ke hadapan.

Perdana menteri berkata, dengan hubungan yang wujud antara beliau dan rakan-rakan setugas dengan Singapura, "Saya boleh katakan bahawa hubungan antara kedua-dua negara adalah pada tahap terbaik dalam sejarah kita.

"Dengan hubungan yang sedemikian, kita boleh mengharapkan untuk mewujudkan pelbagai peluang," katanya kepada masyarakat Malaysia di sini dalam majlis minum petang anjuran Persatuan Rakyat Malaysia di Singapura (Masis) pada Selasa.

Najib berkata, beliau sentiasa percaya yang hubungan Malaysia dan Singapura saling berkait rapat.

Katanya apa saja yang dikatakan dan dilakukan, kedua-dua pihak mungkin mempunyai perbezaan masing-masing selama ini, tetapi "sejak saya mengambi laih jawatan, saya telah meletakkan Singapura sebagai satu daripada bidang keutamaan negara."

"Singapura (sama ada) anda suka atau tidak, adalah sebuah ekonomi yang maju...sebuah ekonomi maju yang begitu hampir dengan kita. Kita patut mengambil kesempatan atau memanfaatkan akan kewujudannya sebagai negara dunia pertama dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, infrastruktur dan kemudahan di sini di Singapura.

"Saya percaya bahawa jika kita dapat menyediakan pentas dari segi hubungan politik yang kukuh pada tahap tertinggi, maka kita mampu untuk menghantar iysrat yang betul dalam masyarakat kita di Singapura dan Malaysia," katanya.

Mengambil contoh Iskandar Malaysia, Najib berkata pembangunan di Iskandar banyak bergantung kepada permintaan dari Singapura.

"Industri pelancongan sebagai contoh daripada 29 juta orang yang dianggap pelancong, 50 peratus daripada mereka ialah rakyat Singapura. Jadi kita mempunyai 50 peratus...14 juta pelawat setahun...yang jelas kebanyakan mereka ialah pengunjung berulang dari Singapura," katanya.

Najib berkata, jika Malaysia boleh meningkatkan bukan hanya jumlah pelancong ini tetapi juga kuasa membeli setiap pelancong dan "anda boleh bayangkan bentuk aliran yang kita boleh manfaatkan daripada sokongan seumpama ini daripada rakyat Singapura sebagai pelancong."

Memberikan contoh kenapa Johor Premium Outlet diwujudkan, Najib berkata: "Kita mahukan rakyat Singapura bukan hanya menyeberangi Johor untuk makanan dan terhenti setakat itu.

"Kita mahu mereka datang ke sini, membelanjakan wang, membeli barang dan menikmati tawaran di beberapa cawangan di kawasan Iskandar...Legoland sebagai contoh dam semua tarikan yang ada.

"Dan jika boleh, kita mahu mereka pergi ke atas lain...bukan setakat Johor tetapi tempat-tempat lain di Malaysia...Lembah Klang, tidak lupa juga Kuantan, Pahang...negeri saya, dan negeri-negeri lain (termasuk) Sabah dan Sarawak," katanya.

Najib bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia supaya memastikan warga Singapura ini merasakan kedatangan mereka dialu-alukan sebagai pelancong.

Menyentuh tentang pemukiman pemimpin di sini, Najib berkata perbincangan yang diadakan amat berjaya dan produktif untuk membawa hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Singapura ke hadapan.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa "kita tidak harus menjadi tawanan sejarah kita sendiri...sejarah ialah panduan untuk kita...tetapi saya sentiasa percaya yang kira harus berpandangan jauh."

"Kita tidak boleh mengubah sejarah dan kita tidak boleh mengundurkan masa, tetapi kita boleh dan kita patut sentiasa melangkah ke hadapan dan berfikiran positif.

"Lagi pun kita sedang berusaha menjadi satu komuniti...Asean akan menjadi sebuah komuniti negara-negara dan sebagai sebuah komuniti negara-negara bermakna kita harus mempunyai perasaan menjadi sebahagian daripada sebuah komuniti yang lebih besar dan lebih kuas...komuniti Asean," katanya.



Artikel Lain