suria

PM Adakan Pertemuan Dengan Hsien Loong, Bincang Projek Kereta Api Laju KL-Singapura

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor (kiri) diraikan pada majlis makan malam oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching sempena rangka lawatan kerja Najib ke Singapura bagi Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Singapura, malam Isnin. -fotoBERNAMA
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pagi Selasa sempena Pemukiman Ke-6 Pemimpin Malaysia-Singapura di Hotel Shangri-La di sini.

Pertemuan itu bakal disusuli dengan mesyuarat perwakilan untuk membincangkan isu hubungan dua hala dan kepentingan bersama serta melihat kembali perkembangan hubungan dua hala sedia ada termasuk inisiatif yang dipersetujui pada pemukiman tahun lalu di Putrajaya.

Agenda utama pemukiman kali ini ialah bagi meningkatkan perhubungan antara kedua-dua negara berjiran ini terutama berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura serta Sistem Transit Rapid (RTS) Singapura-Johor Baharu.

Najib kemudiannya turut dijangka bertemu masyarakat Malaysia di republik ini.

Pada sebelah malam, beliau akan menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Ekonomi Singapura di Hotel Shangri-La yang akan turut dihadiri Hsien Loong.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan perwakilan peringkat tinggi termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Abdul Wahid Omar.

Turut serta Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabry Yaakob.

Perwakilan Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean serta menteri-menteri kabinet lain.

Artikel Sebelum

Artikel Lain