suria

JPJ Diarah Kaji Tempat Duduk Khas Bayi Dalam Kenderaan

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengkaji keberkesanan cadangan mewajibkan pemilik kenderaan menggunakan tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi susulan saranan Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) sebagai langkah keselamatan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang juga penumpang kenderaan berikutan tragedi yang mengorbankan tiga nyawa membabitkan Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta anak perempuan mereka yang berusia tujuh bulan Nur Annisa Firuza akibat tercampak dari kenderaan tersebut.

"Cadangan tersebut baik dan akan diambil kira bagi menjaga keselamatan anak kecil dalam sesebuah kenderaan.

"Kita akan minta Unit Kejuruteraan JPJ mengkaji dan melihat kesesuaian kerusi bayi tersebut untuk diletakkan di tempat selamat dalam kenderaan," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Bagaimanapun, tambah Ab. Aziz, perkara itu perlu diperhalusi termasuk kesesuaiannya seiring pembangunan kenderaan yang seharusnya mewujudkan tempat khas untuk memastikan kerusi bayi berada dalam keadaan selamat.

"Ia perlu selari dengan pembangunan kereta juga, sesebuah kereta perlu ada tempat ikat kerusi bayi agar ia selamat.

"Tidak guna jika hanya meletakkan kerusi bayi tetapi tidak diikat dan boleh tercampak apabila berlaku kemalangan," ujarnya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) Datuk Amarjit Singh Gill berkata adalah penting supaya langkah itu diwajibkan kerana ia mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang duduk di dalam sesebuah kenderaan.

Amarjit berkata, beribu kenderaan dipandu setiap hari dan kanak-kanak daripada bayi sehingga umur lima tahun yang duduk di tempat duduk belakang berhadapan risiko tercampak keluar kerana mereka duduk tanpa memakai tali pinggang keledar.

Dalam kemalangan pada Sabtu lalu, Fairuz, isterinya dan anak bongsu mereka tercampak keluar kenderaan selepas dirempuh Myvi yang dikatakan sedang berlumba.

Fairuz terkorban di tempat kejadian, manakala Nova Safitri dan Nur Firuza meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Semasa kemalangan, ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Putrajaya.


Artikel Lain