UNIT siasatan jenayah menahan dua pekerja sebuah kedai emas yang berpakat mencuri pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM303,000.Bagi mengelak kegiatan mereka disedari, kedua-dua suspek menggantikannya dengan barang kemas tiruan. Kejadian di salah sebuah cawangan di Mumbai, India itu membabitkan syarikat barang kemas yang beroperasi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).Sebaik sahaja majikan mereka membuat laporan polis, kedua-dua suspek semakin berani dan bertindak balas.Mereka kemudiannya menghubungi majikan terbabit dan mengugut bahawa lebih banyak emas akan 'hilang' dari kedai tersebut.Selain itu mereka mengancam akan membunuhnya jika gagal membayar wang pampasan sebanyak 50 lakh rupee (kira-kira RM211,000).Menurut laporan Times of India, suspek ialah Subroto Burman dan Ajay Pathar yang masing-masing bekerja sebagai penyelia jualan dan juruwang di syarikat berkenaan sejak 2017.Kegiatan mereka mula terbongkar pada Jun lalu apabila syarikat memeriksa ketulenan sejumlah barang kemas yang dikatakan rosak atau diubah suai.Daripada kira-kira 675 gram yang diperiksa, sebanyak 386 gram didakwa palsu. Malah pemeriksaan stok berikutnya menemukan lagi 84.33 gram barang kemas tiruan.Siasatan dalaman mendapati Burman dipercayai mengambil emas tulen dari kedai sebelum menjualnya kepada Pathar sebagai emas lama.Untuk mengelakkan kehilangan stok dikesan, barang kemas itu didakwa diganti dengan tiruan daripada loyang atau logam lain, kemudian direkodkan sebagai barang rosak atau diubah suai.Hasil jualan emas berkenaan pula dipercayai dipindahkan ke India menerusi Pathar.Namun, selepas syarikat membuat laporan polis di Dubai, pengurus eksekutifnya mendakwa menerima panggilan ugutan pada 28 September lalu. -Agensi