suria

Nazri Yakin Rampas Kerusi BN

Nazri ditemani isterinya, Yusmariza Yusoh membuang undi di Sekolah Agama Rakyat LKTP Keratong 5, di Muadzam Shah, Selasa.

ROMPIN: Walapun menyedari lawannya, Datuk Hasan Arifin mempunyai banyak kelebihan, calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, yakin mampu merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan Insya-Allah saya yakin akan menang," kata Nazri Ahmad kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Felda Keratong 4, Muadzam Shah pada Selasa.

Terdahulu, Nazri yang memakai baju Melayu merah tiba di Sekolah Agama Rakyat Keratong 5 seawal pukul 7.50 pagi untuk membuang undi.

Selesai membuang undi, beliau turut meninjau proses pengundian di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar Felda Keratong.

"Saya agak bersemangat untuk melawat pusat pengundian bagi melihat sendiri proses tersebut. Setakat ini semuanya masih berjalan lancar," katanya.

Nazri, 40, dicabar Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin dalam pertembungan satu lawan satu.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjid dalam nahas helikopter terhempas di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu keputusan PRK Rompin akan diketahui seawal pukul 11 malam Selasa.

Nazri Ahmad, PRK Rompin

Artikel Lain