suria

Sistem Kereta Api Bawah Tanah London Dapat Sentuhan Anak Malaysia

Aimi Elias
LONDON: Mungkin tidak ramai di kalangan rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan sekitar London dengan menaiki kereta api bawah tanah atau lebih dikenali sebagai 'The Tube' mengetahui bahawa terdapat sentuhan anak Malaysia di rangkaian yang membawa 1.265 bilion penumpang setahun itu.

Aimi Elias, warga Malaysia berusia 26 tahun, baru-baru ini disanjung sebagai 'seorang daripada jumlah wanita yang semakin meningkat dalam sektor pengangkutan' menerusi artikel oleh Metro, akhbar tabloid percuma di sini.

Beliau bertugas dengan pasukan London Underground Crossrail dan ketika ini merupakan Jurutera Projek bagi Crossrail Liverpool Street Station.

Aimi dilahirkan di London selepas ibunya yang berasal dari Johor Baharu dan bapanya dari Pulau Pinang, berpindah ke sini pada 1982.

"Ibu bapa saya bekerja keras bagi memastikan saya dan adik memperoleh yang terbaik dalam menjalani kehidupan di UK dan mendapat pendidikan yang baik. Kami berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan ibu bapa saya tidak belajar hingga ke universiti," katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.


Adik lelaki Aimi kini menyertai skim Perantisan Pembaharuan Semula Landasan Transport for Londons (TfL).

Aimi berkata beliau membiayai sendiri pendidikan praijazahnya di Imperial College dengan mengikuti bidang kejuruteraan awam menerusi pinjaman pelajar dan dermasiswa daripada Institution of Civil Engineers dikenali sebagai QUEST Scholarship.

Institusi ini menghubungkan beliau dengan sebuah syarikat perunding kejuruteraan yang mengambilnya bekerja semasa cuti musim panas.

Wanita ini berkata tugasnya memerlukan beliau memudahkan pelaksanaan tugas Crossrail sambil meminimumkan impak ke atas pengoperasian landasan London Underground.

"Bidang tugas saya adalah menyemak semula cadangan Crossrail supaya kami boleh menyokong program kerja Crossrail dan membolehkan London Underground untuk menerapkan tugas itu dalam penggunaan dan penyenggaraan pengoperasian," katanya.


Crossrail ditubuhkan pada 2001 untuk memupuk dan membangunkan rangkaian penting bagi memenuhi keperluan masyarakat dan perniagaan di seluruh kawasan Tenggara, dan bagi memastikan London meneruskan peranannya sebagai pusat kewangan dan perniagaan terulung di Eropah.

Crossrail adalah projek usahasama antara TfL dan Department for Transport (DfT) sehingga hujung 2008 apabila ia menjadi anak syarikat milik penuh TfL.

Aimi berkata semasa masih bersekolah, beliau bercita-cita untuk menceburi kerjaya yang dapat membawa perubahan dalam hidup masyarakat dan sebaik mendapat tahu jurutera menyelamatkan lebih banyak nyawa berbanding doktor, beliau tidak mampu menolak apabila TfL menawarkannya kerja.

"Jurutera mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat hanya dengan menyediakan prasarana agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Apabila TfL menawarkan saya (kerja), saya tidak dapat memikirkan suatu penerapan kejuruteraan yang lebih baik.


"Pengangkutan awam memudahkan segenap lapisan masyarakat menjalankan aktiviti harian mereka, merangkumi perjalanan ke tempat kerja sehinggalah untuk mengunjungi saudara mara dan rakan taulan," katanya.

Pada 2013, Aimi dipilih menyertai Skim Perantisan Presiden Institution of Civil Engineer, yang berprestij.

Ditanya tentang pekerjaannya dalam sektor yang dikuasai lelaki, Aimi berkata tiada alasan bagi kalangan wanita untuk menjauhi apa jua industri kejuruteraan, daripada pembinaan bangunan sehinggalah kepada mereka bentuk stesen angkasa.

"Kejuruteraan sering kali dianggap sebagai bidang yang dikuasai lelaki, dan ini memang benar, hanya lapan peratus daripada industri kejuruteraan terdiri daripada wanita. Ini perlu diubah. Saya harap lebih ramai wanita terbuka untuk memperkatakan tentang tugas harian mereka untuk mengikis tanggapan bahawa profesion ini hanya sesuai bagi lelaki," katanya.

Aimi merupakan finalis dalam FameLab 2015 UK Grand Final yang diadakan baru-baru ini dengan 10 finalis bersaing dalam pertandingan komunikasi untuk memperjelaskan konsep sains, teknologi dan kejuruteraan menerusi persembahan yang menghiburkan selama tiga minit.


"Saya satu-satunya jurutera dan bukan Kaukasia yang layak ke final. Sayang sekali, saya tidak menang namun saya sudah beri yang terbaik," kata Aimi, yang memperjelaskan tentang seni penerowongan menggunakan yoga dalam pertandingan itu.

Acara final di Bloomsbury Theatre di London pada 22 April diadakan susulan 18 saringan dan lapan final peringkat wilayah dengan pemenangnya membawa pulang gelaran juara FameLab UK dan hadiah 1750 untuk mengembangkan kerjaya mereka dalam sains komunikasi.

Pertandingan itu dimulakan 10 tahun lepas di UK oleh Cheltenham Science Festival dan berjaya mengenal pasti, melatih dan membimbing ahli sains serta jurutera untuk berkongsi minat mereka dalam bidang masing-masing bersama masyarakat umum.

Artikel Lain