suria

Kes Kemalangan Di DUKE 90 Peratus Siap - Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap kes kemalangan yang membabitkan tiga kematian di Lebuhraya DUKE awal pagi Sabtu lalu sudah 90 peratus siap, kata Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohd Fuad Abd Latiff.

Beliau berkata, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut dengan mengambil kira bagaimana pelanggaran berlaku serta mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai menjadi punca kemalangan.

Beliau juga berkata, pembabitan Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam siasatan polis juga tidak diperlukan kerana peranan badan itu adalah untuk menjalankan penyelidikan dalam aspek keselamatan jalan raya.

"Saya terpanggil untuk merujuk kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menyatakan terdapat banyak pihak mempertikaikan kemalangan antara dua kereta Perodua MyVi dengan pacuan empat roda model Pajero Sports.

"Ingin dijelaskan, rata-rata di media sosial, isu hanya mempertikaikan mengenai kegiatan kereta berlumba dengan kelajuan yang tinggi sehingga menyebabkan kemalangan maut itu," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Mohd Fuad berharap orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan spekulasi negatif sehingga membangkitkan ketidakpuasan hati masyarakat terhadap PDRM.

Semalam, Abd Aziz berkata, Miros akan bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan berhubung nahas di Lebuhraya DUKE itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1.05 pagi itu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa. -- Bernama

Duke, Miros, lumba

Artikel Lain