suria

PRK Rompin: Jumlah Keluar Mengundi Merosot 12.9 Peratus

Pengundi-pengundi beratur menunggu giliran untuk mengundi di pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Sekolah Kebangsaan Janglau, Selasa.

ROMPIN: Seramai 52,744 pemilih atau 73 peratus telah keluar mengundi selepas semua 38 pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin ditutup pada pukul 5 petang Selasa.

Ia menyaksikan penurunan sebanyak 12.9 peratus.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, peratus keluar mengundi di Parlimen Rompin adalah 85.9 peratus daripada 53,596 pengundi berdaftar.

Parlimen Rompin mempunyai seramai 52,744 pengundi berdaftar di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia­itu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, jumlah rasmi pengundi akan diumumkan selepas disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Rompin, Datuk Fadzilla Salleh.

"Ketika ini, proses pengiraan undi sedang berjalan dan keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal pukul 11 malam ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini," katanya.

Terdahulu, SPR memaklumkan, empat daripada 38 pusat mengundi pada PRK Rompin ditutup awal pada pukul 2 petang Selasa kerana jumlah pengundi yang kecil.

Tiga daripada pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan Juara yang mempunyai 171 pengundi berdaftar, Balai Raya Kampung Genting (142 pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi) yang terletak di Pulau Tioman.

Satu lagi pusat ialah Sekolah Kebangsaan Denai di Kuala Rompin yang mempunyai 170 pengundi berdaftar.

Keempat-empat pusat mengundi itu yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman telah dibuka sejak 8 pagi Selasa.

Sementara itu pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman yang mempunyai 651 pengundi akan ditutup pada pukul 3 petang, dan pusat mengundi di Dewan Stesen Mardi, Muadzam Shah bagi daerah mengundi Bukit Ridan yang mempunyai 312 pegundi akan ditutup pada jam 4 petang.

Menurut jurucakap SPR, peti-peti undi dari Pulau Tioman akan dibawa dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan helikopter yang akan dikawal rapi oleh pihak polis bagi mengelak sebarang sabotaj atau perkara tidak diingini ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin.

Keputusan PRK Rompin hanya akan diketahui seawal pukul 11 malam Selasa.

Pada Khamis lalu, sebanyak 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pe­ngundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK tersebut.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter terhempas pada 4 April lalu.

PRK Rompin, SPR, Fadzilla Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain