suria

PKR Jangka Tewas Jika Kurang 70 Peratus Keluar Mengundi

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjangkakan gagal mempertahankan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Khamis ini jika hanya 68 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, berdasarkan kajian pihaknya, sejarah kekalahan pakatan pembangkang di PRK Teluk Intan bakal berulang jika peratus keluar mengundi kurang 70 peratus.

“Kajian yang baharu menunjukkan jumlah keluar mengundi adalah kurang 68 peratus.

“Ini amat membimbangkan. Dyana Sofya (Mohd Daud) ada di sini, beliau ada pengalaman buruk di Telun Intan,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini, Selasa.

Pada PRK Teluk Intan tahun lalu, DAP yang diwakili Dyana Sofya tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis, 238 undi.

Peratus keluar mengundi dalam PRK Teluk Intan ialah 66.50 peratus.

Mengulas lanjut Tze Tzin berkata, PRK Permatang Pauh perlu dijadikan isyarat bantahan rakyat kepada kerajaan berhubung pelbagai isu termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kita ada kira-kira 7,000 pengundi dan semua orang tahu ini adalah satu bell weather election sebagai isyarat mahukan perubahan. Jadi jika kita nak tunjukkan bahawa rakyat tak berpuas hati dengan penyelewengan, rasuah dan GST, oleh itu pengundi kena keluar mengundi,” katanya.

PKR, PRK Permatang Pauh, Sim Tze Tzin

Artikel Lain