suria

KPWKM Bantu Keluarga Mangsa Nahas DUKE - Rohani

Rohani Abdul Karim menenangkan anak Allahyarham Fairuz Nizam Husain, Nur Firuza Aqila, 4, (dua kanan) semasa menziarahi keluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya DUKE di Taman Batu Muda pada Selasa.

KUALA  LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menimbang untuk memberi bantuan melalui Skim Bantuan Anak Angkat atau Bantuan Kanak-Kanak kepada waris mangsa yang maut dalam nahas Lebuhraya Duke pada Sabtu lepas.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata keputusan itu akan ditentukan selepas perbincangan di antara kementerian dengan keluarga mangsa diadakan dalam pada masa terdekat.

"Kami akan berbincang dengan keluarga mangsa mengenai skim bantuan itu,kerana hanya satu skim bantuan sahaja boleh diberi kepada waris mangsa.

"Kami tidak dapat bincang lagi perkara ini. Biar keadaan reda, dan kita tunggu masa yang sesuai supaya kita boleh beri khidmat terbaik untuk membantu keluarga mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa nahas itu di rumah kediaman mereka, di Taman Batu Muda, Batu Caves, Selasa.

Nur Firuza Amira, 7, dan adiknya Nur Firuza Aqila, 4, kehilangan bapa mereka Fairuz Nizam Husain, 35, dan ibu Nova Safitri Azhari, 25, serta adik bongsu Nur Firuza Annisa, tujuh bulan, dalam kemalangan itu yang membabitkan tiga kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE pada 1.05 pagi Sabtu lepas.

Rohani menjelaskan bagi Skim Bantuan Anak Angkat, kementerian akan memperuntuk RM250 seorang setiap bulan manakala Skim Bantuan Kanak-Kanak adalah sebanyak RM100 seorang setiap bulan.

Kedua-dua skim itu memperuntuk bantuan sehingga mereka mencecah usia 18 tahun. 

Beliau berkata dua kaunselor turut ditugaskan untuk  memberi khidmat sokongan dan nasihat kepada anggota keluarga khususnya kedua-dua anak mangsa, yang masih trauma dengan kejadian malang itu.

"Kalau kita tengok Aqila, dia masih lagi mendiamkan diri, tidak berselera makan dan kadang-kadang menangis apabila bertemu dengan orang...ini menunjukkan masih lagi ada trauma pada kanak-kanak ini.

"Kita kena bantu memberi khidmat kaunseling agar trauma itu boleh ditangani dengan baik," katanya.

Artikel Lain