suria

Pandang Rendah Kepentingan Tali Pinggang Keledar Punca Kemalangan Maut

Tiga daripada lima sekeluarga ini maut dalam kemalangan di DUKE baru-baru ini.

KAJANG: Sikap memandang rendah keberkesanan memakai tali pinggang keledar khususnya bayi dan kanak-kanak ketika menaiki kenderaan dikesan antara punca utama kemalangan maut membabitkan penumpang usia muda itu.

Berdasarkan statistik, jumlah kemalangan maut membabitkan bayi berusia antara satu hingga lima tahun sejak 2005 hingga 2013 adalah sebanyak 530, manakala bagi kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun pula sebanyak 707.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abdul Haris Lakar, selain itu, kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat berkaitan pemakaian tali pinggang keledar itu juga menjadi faktor penyumbang kejadian itu.

"Pemerhatian yang saya jalankan mendapati bayi dan kanak-kanak kurang dipakaikan tali pinggang keledar, malahan hal ini tidak diambil berat oleh ibu bapa.

"Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam isu pemakaian tali pinggang terhadap anak-anak mereka," katanya pada Selasa.

Baru-baru ini, tiga sekeluarga maut termasuk bayi berusia tujuh bulan yang tercampak ke luar kenderaan dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE dipercayai angkara sekumpulan pelumba haram.

Abdul Haris ditemui pada majlis pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya Kali Ke-3 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang.

Program anjuran JKJR dengan kerjasama Yayasan Rakan Kongsi Keselamatan Jalan Raya Global Malaysia (MGRSP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) itu diadakan di seluruh dunia antara 4 hingga 10 Mei 2015.

Sehubungan itu, Abdul Haris berkata, menerusi program ini, pemikiran kanak-kanak terutamanya akan lebih terbuka disamping dapat meningkatkan kesedaran mereka mengenai keselamatan jalanraya pada usia muda.

"Mereka akan lebih peka dan sedar terhadap pemakaian tali pinggang keledar," katanya. 

Artikel Lain