suria

Ahmad Awang Kembali Ke Kancah Politik PAS

Ahmad Awang

KUALA LUMPUR: Apabila namanya dicalonkan sebagai pencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan Presiden PAS, pemimpin veteran Ahmad Awang menjangka banyak pihak yang tidak akan berpuas hati.

Walaupun hampir tujuh tahun meninggalkan dunia politik, ulama berusia 79 tahun ini berkata, ada pihak yang mempersoalkan rasional di sebalik pencalonannya selepas sekian lama menyepi.

"Sebenarnya saya tidak pernah meninggalkan parti, juga perjuangannya. Saya hanya mmberi tumpuan kepada kerja-kerja di luar parti yang melibatkan dakwah," katanya kepada The Star Online pada pertemuan baru-baru ini.

Ahmad yang berhasrat menubuhkan sekolah agama dan anak yatim di kampung kelahirannya di Gunung Semanggol, Perak berkata, kemarahan penyokong Hadi terhadapnya bermula apabila beliau mengkritik keputusan Presiden PAS itu ketika krisis menteri besar Selangor tahun lalu.

"Mereka mahu tahu ke masa saya selama ini dan tiba-tiba muncul mengkritik kepimpinan parti.

"Sebagai ahli seumur hidup PAS, saya berhak menyuarakan pendapat kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam parti dan kini ia turut memberi kesan kepada hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Malahan, kritikannya terhadap Hadi dan Majlis Syura Ulama dalam mengendalikan krisis menteri besar Selangor juga mengheretnya semula dalam kancah politik.

"Majlis Syura Ulama juga tiada kuasa menolak keputusan yang dibuat Jawatankuasa Kerja Pusat yang bersetuju mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

"Sepanjang penglibatan saya dalam Majlis Syura Ulama, tidak pernah sekali pun campur tangan keputusan eksekutif," katanya yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Perak selama lapan tahun.

Katanya lagi, keputusan untuk menamakan menteri besar negeri itu terletak pada pesuruhjaya parti, bukan Majlis Syura Ulama.

Ahmad memperoleh tiga pencalonan untuk melayakkannya bertanding pada pemilihan parti itu Jun ini.

Ketika ini, bekas penjawat awam itu masih belum memutuskan untuk bertanding jawatan nombor satu parti berkenaan.

"Saya bukannya muda lagi, seeloknya kita tunggu dan lihat berapa banyak lagi pencalonan akan saya terima, jika masih tidak berubah, lebih baik Hadi dicabar pihak lain," katanya.

PAS memaklumkan semua Kawasan perlu menyerahkan pencalonan pada 30 April ini. Setakat ini, Hadi mendahului dengan 80 pencalonan, diikuti Datuk Husam Musa (7) dan Ahmad Awang (3).

Walaupun tidak kisah dengan angka itu, Ahmad berkata, keadaan mungkin berubah pada hari pemilihan nanti.

"Ramai pemimpin akar umbi yang tampil memberitahu saya, mereka perlu mencalonkan Hadi untuk menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan parti," katanya yang ketika ini menjadi sasaran pihak tertentu.

Baru-baru ini dilaporkan adanya dua kain rentang diletakkan di kawasan Gombak yang melabelkan beliau sebagai pemfitnah, malahan beliau turut dilarang memberi ceramah di beberapa masjid sekitar Selangor, selepas dicalonkan menentang Hadi.







Ahmad Awang, Majlis Syura Ulama, PAS

Artikel Lain