suria

Saya Tak Minta Najib Berundur - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan beliau meminta presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur daripada memegang jawatan itu.

Beliau yang memperjelaskan mengenai kenyataan di blognya nurjazlan.net pada Rabu berkata, Perdana Menteri perlu segera menjawab kritikan dan dakwaan yang dilontarkan kepadanya atau ia boleh menjejaskan Umno dalam jangka panjang.

"Jika beliau tunggu penggal penuh parlimen (sehingga 2018) untuk menjawab, ia akan menjadi masa yang lama. Beliau seharusnya melihat kepentingan parti secara keseluruhan," kata Nur Jazlan kepada pemberita selepas menghadiri Asean Peoples's Forum pada Rabu.

Ahli Parlimen Pulai itu yang bercakap demi parti berkata, para pemimpin Umno yang lain akan bersetuju dengan pandangannya sekiranya mereka amat menyayangi parti.

Jika mereka hanya mempertahankan pemimpin parti semata-mata, mereka tidak melakukannya demi parti.

"Tiada sebab untuk Najib berundur kerana parti masih memerlukan sokongan beliau. Tetapi berapa lama Umno akan menyokong beliau?" soalnya.

Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, temuramah khas Perdana Menteri di TV3 baru-baru ini sedikit-sebanyak menjawab kritikan dan spekulasi mengenai beberapa isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dab Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Ia sudah tentu tidak puaskan hati (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Hanya sekali rakyat berpuas hati dengan jawapan-jawapan itu, isu tersebut akan terhenti," tambahnya.

Dalam kenyataan di blognya, Nur Jazlan menulis bahawa Najib perlu bertindak segera untuk memperjelaskan kebimbangan terhadap 1MDB, yang kini menjejaskan Umno secara keseluruhan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat bukan menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional, sebaliknya unsur dalaman Umno sendiri.

"Perdana Menteri boleh memilih jalan singkat untuk membubarkan Parlimen dan membuat ‘snap election’ bagi mencuci persepsi negatif terhadap diri beliau dan keluarga dengan mendapatkan mandat yang baru," kata Nur Jazlan di blognya. 

Artikel Lain