suria

SPRM Johor Tahan Empat Lagi Individu Dalam Ops Tanduk

JOHOR BARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai veterinar bagi membantu siasatan berkaitan penerimaan suapan daripada pembekal dan bersubahat memalsukan dokumen tuntutan bekalan serta pembayaran program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (Pintaf).

Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias berkata, tiga daripada mereka ditahan di Muar, manakala seorang lagi ditahan di Segamat.

"Kesemua yang ditahan menerusi Ops Tanduk itu berumur lingkungan 40-an sehingga 50-an termasuk Pegawai Perkhidmatan Veterinar G36 dan Pembantu Veterinar G17," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Azmi berkata, tiga yang ditahan di Muar itu dibawa ke SPRM Melaka untuk direkodkan keterangan dan penahanan kesemua mereka menjadikan 16 individu ditahan sejak ops itu dilancar Ahad lepas.

Beliau berkata kesemua 16 individu tersebut termasuk dua wanita disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan mereka dilepaskan selepas diambil keterangan.

Azmi berkata, SPRM Johor melancarkan Ops Tanduk itu susulan aduan orang awam berhubung penyelewengan pembekalan lembu dan kerbau kepada penternak program Pintaf.

"Program Pintaf yang memperuntukkan RM3 juta merupakan program Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menyalurkan bantuan aktiviti pembangunan ternakan.

Ia merupakan satu pinjaman tanpa faedah," katanya.

Azmi berkata, dianggarkan lebih 150 penternak di bandar raya ini sepatutnya mendapat bantuan dari program Pintaf tetapi maklumat yang diterima SPRM menunjukkan ramai tidak menerima bantuan sewajarnya. --Bernama


SPRM, Pintaf, Azmi Alias, veterinar

Artikel Lain