suria

DBKL Tawar 80,000 Unit Rumah Mampu Milik

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib melihat model Rumawip di DBKL pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan sejumlah 80,000 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) siap dibina menjelang 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, Rumawip diwujudkan bagi merealisasikan Dasar Perumahan Negara di Wilayah Persekutuan menjelang 2020.

"Bagi merealisasikan Dasar Perumahan Negara, satu insentif baharu iaitu Rumawip akan menempatkan sebanyak 50,000 unit di Kuala Lumpur, 20,000 unit di Putrajaya dan 10,000 unit di Labuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis  'Anjung Rumawip KL' di sini, Rabu.

Ahmad Phesal memberitahu, sejak Mac 2015, sebanyak 22,503 unit Rumawip daripada 41 projek perumahan telah diluluskan.

"Rumawip diwujudkan bagi membantu golongan khususnya penduduk Wilayah Persekutuan yang berpendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan," jelasnya.

Menurutnya lagi, Rumawip akan dijual tidak melebihi RM300,000 seunit disamping mempunyai keluasan lantai tidak kurang dari 800 kaki persegi bagi memenuhi keperluan penduduk pada masa kini terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal turut menjemput orang ramai mengunjungi Galeri Anjung Rumawip untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek perumahan tersebut.

"Galeri ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk melihat dan mengetahui lebih lanjut mengenai model-model dan lokasi perumahan Rumawip," katanya.

DBKL. Rumawip

Artikel Lain