suria

Yakin Malaysia Capai Wawasan 2020 Di Bawah Pimpinan Najib

KUALA LUMPUR: Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung pelbagai persoalan yang ditimbulkan terhadapnya telah melahirkan keyakinan tinggi dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kudrat wawasan 2020.

Beberapa pemimpin tertinggi BN menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin berwibawa berikutan berani tampil memberikan penjelasan terhadap pelbagai isu dan kritikan yang dilemparkan oleh beberapa pihak termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata penjelasan Najib dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas Khamis malam menggambarkan beliau seorang pemimpin yang prihatin dengan memberi penjelasan panjang lebar kepada rakyat berhubung isu-isu berbangkit.

Beliau menggesa semua pihak agar menghentikan spekulasi serta tuduhan terhadap Najib supaya perdana menteri dapat meneruskan agenda transformasi negara.

"BN akan memberi fokus untuk menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh rakyat dan bukannya mempolitikkan isu-isu yang kecil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Berkongsi pandangan sama, Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, penjelasan Najib berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membuktikan beliau seorang pemimpin yang telus.

Katanya, selaku pemimpin BN, beliau yakin Najib akan membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih membanggakan dalam era globalisasi yang penuh dengan pelbagai cabaran.

"Walaupun rakyat Malaysia bebas bersuara, tetapi harus menilai dahulu kebenaran serta kesan kepada negara supaya negara tidak menjadi huru-hara kelak," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau yakin semua pemimpin BN akan berdiri teguh di sisi Najib bagi meneruskan perjuangan di bawah payung kerajaan BN demi rakyat supaya Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan percubaan untuk melemahkan kepimpinan Najib akan melewatkan proses transformasi negara dan ini akan menyukarkan Malaysia untuk mencapai status negara maju.

Beliau berkata MIC yang merupakan antara parti komponen BN akan berjalan seiring dengan kepimpinan Najib dalam usaha membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M.Kayveas berkata Najib telah memberikan penjelasan yang bagus kepada beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak semalam.

"Beliau kini berada dalam keadaan tertekan namun beliau masih tampil dan memberi penjelasan yang cukup baik pada pandangan saya. Beliau juga telah menjelaskan beberapa isu yang sering dijadikan alat propaganda oleh pihak pembangkang," katanya.

Kayveas juga berpendapat Najib berjaya membawa pelbagai transformasi kepada rakyat dan negara dalam masa yang singkat dan kepimpinan beliau sangat diperlukan supaya Malaysia lebih maju.-- Bernama


Kayveas, Subramaniam, MIC, Mah Siew Keong

Artikel Lain