suria

Sukma 2016: Jangan Guna Slogan Kita Lawan, Titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah.
SUBANG JAYA: Exco Sukan Negeri Selangor digesa supaya menukar slogan kontinjen Selangor Sukan Malaysia (Sukma) 2016 ntuk mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan dengan slogan kontinjen Selangor "Kita Lawan"  kerana ia digunakan oleh sebuah parti politik.

“Beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur aduk atau cuba berpolitik dalam sukan.

"Beta berpendapat adalah lebih baik kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 menggunakan slogan lain yang lebih bersemangat dan berbangga mewakili Negeri Selangor serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik atlet, pasukan dan Selangor yang kita kasihi ini," titah baginda pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor pada Jumaat.

Ekoran daripada teguran itu,  Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor, Amiruddin Shari menerangkan pemilihan slogan bagi kontinjen Selangor masih lagi dalam peringkat cadangan.

"Cadangan slogan kontinjen Selangor itu telah terlepas dan dibincang secara meluas di media seolah-olah slogan tersebut adalah satu ketetapan yang telah muktamad.

"Pihak saya dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan berbincang dengan persatuan-persatuan sukan untuk mendapatkan satu slogan baru yang boleh diterima pakai dan masih mengekalkan semangat juang yang tinggi di kalangan atlet Selangor," kata Amirruddin.

Sementara itu, dalam majlis tersebut atlet akuatik, Chew Yi Wei telah dinobatkan sebagai Olahragawan Selangor 2014 manakala gelaran Olahragawati telah dimenangi
atlet karate, Syakilla Salni Jefri Krosnan.

Artikel Lain