suria

Puteri Umno Gerakkan 1,000 Anggota Bantu PRK Permatang Pauh, Rompin

Mas Ermieyati Samsuddin

ALOR GAJAH: Pergerakan Puteri Umno bersedia  mengerakkan kira-kira 1,000 anggotanya untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Rompin yang diadakan awal bulan depan.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, jumlah tersebut melibatkan jentera puteri pelbagai peringkat dari negeri lain dan luar kawasan PRK berkenaan.

"Kita tidak perlu risau kerana ada ramai anggota Puteri Umno dalam kawasan Parlimen itu (Permatang Pauh dan Rompin), kita juga telah mengadakan perjumpaan dengan pucuk pimpinan tertinggi BN serta ketua puteri setiap negeri dan kita bersetuju membahagikan tugasan masing-masing.

"Ini adalah tugas besar dan mencabar bagi jentera Puteri Umno dan BN tetapi saya yakin dan percaya dengan pembahagian tugas yang telah diselaraskan di peringkat pusat, gerak kerja ini akan berjalan lancar dan berkesan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah berkata demikian selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan akademik Parlimen Masjid Tanah melibatkan 89 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Mei sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh dan 5 Mei bagi pengundian di Parlimen Rompin.

Mas Ermieyati berkata dalam PRK itu Puteri Umno akan memberi fokus untuk menarik sokongan pengundi muda dan memberi penerangan tentang pelbagai isu termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang cuba dimanipulasikan  pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin BN perlu mengadakan pertemuan lebih kerap dengan rakyat di peringkat akar umbi bagi memberi penerangan berterusan tentang isu semasa negara.-- Bernama


Puteri Umno, PRK, Permatang Pauh, Rompin

Artikel Lain