suria

Pandikar Amin Kendali Bahas Akta Hasutan Selepas Sebulan 'Menghilang'

Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR: Setelah empat minggu ‘menghilangkan’ diri daripada mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akhirnya tampil ketika rang undang-undang kontroversi - Akta Hasutan dibahaskan.

Mengambil alih tugas ‘berat’ berkenaan, Speaker Dewan Rakyat itu berjaya menarik perhatian wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang merindui celotehnya ketika mempengerusikan mesyuarat.

“Saya tak ke mana-mana, saya memerhati dari luar,” demikian reakasi pertama Pandikar Amin ketika muncul menggantikan timbalannya, Datuk Ismail Mohamed Said selepas mempengerusikan sesi soal jawab lisan.

Sambil tersenyum dengan reaksi ceria, Pandikar Amin menasihatkan supaya semua pihak tidak mendengar sebarang spekulasi mengenai ketiadaannya.

“Saya menyamar dan berjalan-jalan di Chow Kit, ke Masjid India ketika kamu (Ahli Parlimen) berbahas. Saya tanya keadaan di luar,” katanya.

Kehadiran Pandikar Amin disambut baik wakil rakyat kedua-dua belah pihak yang melahirkan rasa rindu terhadapnya sebelum memulakan perbahasan masing-masing.

Bagi pihak kerajaan, kemunculan Pandikar Amin pastinya melegakan ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) kerana diyakini berjaya mengawal ‘kekecohan’ yang ditimbulkan wakil rakyat pembangkang.

Ternyata Pandikar Amin memulakan tugas beratnya dengan ‘syarahan undang-undang’ apabila wakil rakyat pembangkang cuba mempertikaikan tafsiran Peraturan Mesyuarat 36(2) yang dibangkitkan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Menurut Gobind, RUU Akta Hasutan tidak boleh dibahaskan kerana Peraturan Mesyuarat 36(2) yang menyebut bahawa Dewan Rakyat tidak boleh menyebut perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah sekiranya speaker yakin ia akan merosakkan kepentingan pihak yang berbicara.

Namun Pandikar Amin berjaya mengawal kekecohan yang cuba dicetuskan pembangkang selepas lebih sejam pertikaian mengenai Peraturan Mesyuarat 36(2) yang mungkin mencetuskan subjudis terhadap kes di mahkamah.

Artikel Lain