suria

Forensik PDRM Ke Kiev Sambung Pencarian Bukti Baharu MH17

Khalid menerima momento "Guardian of the Nation`s Peace and Security" (Penjaga Keamanan dan Keselamatan Negara) daripada Universiti Limkokwing yang diwakili oleh Pengasas dan Presidennya, Tan Sri Lim Kok Wing (tiga dari kiri) sambil disaksikan Pengerusi Universiti Limkokwing, Tan Sri Dr Aseh Che Mat (dua kiri) serta pegawai-pegawai tinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada majlis penyampaian anugerah laman sesawang anti jenayah siber di sini, Khamis.

CYBERJAYA: Tujuh anggota forensik polis akan berlepas ke Kiev, Sabtu ini bagi menyambung semula pencarian bangkai pesawat dan bukti baharu nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan itu akan memasuki kawasan tragedi di Donetsk, Ukraine pada Selasa ini (14 April) bersama-sama pasukan keselamatan Belanda dan Ukraine.

"Fokus pencarian adalah bagi mencari baki serpihan pesawat, mencari bukti baharu untuk membantu siasatan serta mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui.

"MH17 adalah pesawat kita. Polis komited dalam meneruskan siasatan dan berharap misi kali ini yang mendapat kerjasama Belanda dan lain-lain pasukan dapat membantu menemui petunjuk baharu kes itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Universiti Limkokwing di sini.

Beliau berkata, pasukan itu, yang bakal disertai unit lain, akan berada selama sebulan di lokasi nahas.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai lepas.

Dalam pada itu, Khalid berkata Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Selasa lepas dapat memperkukuh usaha polis menangani keganasan khususnya ancaman kumpulan militan IS yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, jumlah penglibatan rakyat negara ini dalam gerakan itu cukup membimbangkan walaupun polis telah mengambil tindakan dan sentiasa memantau pergerakan mereka yang telah dan akan terlibat dalam kumpulan militan itu.

"Alhamdulillah, POTA sudah diluluskan. Kita tunggu ia diwartakan untuk kita kuatkuasakan. Ini memberi kita lebih 'tool' untuk PDRM menangani masalah keganasan," katanya.

Jumlah rakyat Malaysia yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan sejak Februari 2013 kini mencecah 93 orang dengan tangkapan terbaharu melibatkan seorang lelaki yang disyaki akan berlepas ke Syria di stesen kereta api Padang Besar, Perlis pada Isnin lepas.

Terdahulu, Pengasas dan Presiden Limkokwing University Tan Sri Lim Kok Wing menyerahkan tiga anugerah yang dimenangi laman web PDRM kepada Khalid.

Laman web itu, yang berkaitan jenayah komersil, memenangi Anugerah Laman Web Perkhidmatan Maklumat Terbaik pada Pertandingan Pengiklanan Internet 2014 dan  dua Anugerah Gangsa bagi Kecemerlangan dalam Jenayah Siber untuk kategori perisian dan kategori kerajaan pada Anugerah Komunikator Tahunan Ke-20 2104.

Laman web itu, yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Limkokwing, turut mengandungi klip video dan poster mengenai kempen pencegahan jenayah komersil.

Mengenai kemenangan itu, Khalid berkata PDRM akan terus bekerjasama dengan Universiti Limkokwing dalam mencari kaedah baharu bagi menentang jenayah siber.

Beliau juga berterima kasih kepada Lim kerana menganugerahkan 100 biasiswa kepada PDRM untuk membolehkan anggota pasukan keselamatan itu melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.-- Bernama



forensik, PDRM, MH17, Kiev

Artikel Lain