suria

Hadi Dijangka Dapat Sokongan Penuh PAS Terengganu

Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU: Kesemua lapan kawasan PAS di Terengganu dijangka memberi sokongan penuh kepada pencalonan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengekalkan jawatan presiden parti itu, kata Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya PAS Kawasan Besut yang telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan, dengan menyatakan sokongan dan pendirian bahawa konsep kepimpinan ulama yang menjadi teras kepada kepimpinan parti itu sejak 1982, harus dipertahankan.

"Saya yakin lapan kawasan (PAS) ini akan beri sokongan padu sebab Presiden PAS pun dari Terengganu...tidak munasabah beri isyarat 'menolak'. Kalau ada pun, (pencalonan jawatan) timbalan dan naib presiden, adalah atas hak perwakilan kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Tujuh lagi kawasan yang akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan masing-masing ialah Hulu Terengganu pada esok, diikuti Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman pada 18 April serta Marang dan Dungun pada 25 April.

Dalam perkembangan berasingan, Satiful berkata Badan Perhubungan PAS Terengganu kini bersiap sedia untuk menggerakkan jentera kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Rompin di Pahang.

"Kita akan tunggu keputusan yang akan dikeluarkan PAS Pusat nanti," katanya.-- Bernama


Abdul Hadi Awang, PAS, Terengganu

Artikel Lain