suria

PRK Permatang Pauh: Penamaan Calon 25 April, Pengundian 7 Mei

PETALING JAYA: Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh (P.44) ditetapkan pada 7 Mei sementara hari penamaan calon pula pada 25 April ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR hampir dua jam di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya pada Rabu.

Beliau berkata, seramai 71, 890 pengundi layak mengundi pada pilihan raya kecil tersebut dengan 71, 252 adalah pengundi biasa, sementara 627 orang adalah mereka yang akan mengundi pada hari pengundian awal pada 3 Mei depan.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari.

Anwar, yang juga ketua pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu Anwar lalu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 11,721 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas Abdullah Zawawi Samsudin.

Mengulas lanjut mengenai PRK Permatang Pauh, Abdul Aziz berkata SPR telah melantik Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah selaku pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh enam penolong pegawai pengurus.

"SPR juga setuju menubuhkan enam pasukan penguatkuasa kempen pilihan rayamyang akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan," katanya.

Menurut Abdul Aziz penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakandi Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Abdul Aziz berkata pengundian awal akan dijalankan di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah manakala bagi pengundian biasa pula, 25 buah sekolah akan diguna sebagai pusat mengundi melibatkan 132 saluran.

Katanya kos pengendalian PRK Permatang Pauh dianggar menelan belanja  sebanyak RM1.9 juta.

Beliau berkata SPR menimbang kemungkinan melantik pemerhati tempatan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika terdapat permohonan.

SPR pada masa sama meminta semua majikan sama ada daripada sektor awam atau swasta agar memberi tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang ingin keluar mengundi.

"Di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih satu tahun penjara," katanya.


Berikut ialah tarikh penting mengenai PRK Permatang Pauh 

Tarikh keluar writ: 8 Apr 2015 

Tarikh notis : 8 April 2015 

Tarikh penamaan calon:  25 April 2015 

Tarikh pengundian awal: 3 Mei 2015 

Tarikh undi pos: 25 April

Tarikh pengundian biasa: 7 Mei 2015 


Artikel Lain