suria

Ops Catut: 320 Notis Dikeluar Kepada Peniaga Ingkar Sejak 1 April

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan sebanyak 320 notis kepada peniaga ingkar dalam Ops Catut Fasa 2 yang dilakukan sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, antara kesalahan peniaga adalah menaikkan harga barang tidak munasabah dan tidak meletakkan tanda harga.

Menurutnya, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 merupakan hasil tindakan dan penguatkuasaan berdasarkan 49,703 pemeriksaan yang dilakukan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dari 1 sehingga 7 April.

"Kumulatif (secara keseluruhan) pengeluaran notis Seksyen 21 dari 1 sehingga 7 April lalu adalah 320 notis.

"Notis itu dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga atau caj bagi perkhidmatan yang tidak munasabah di pasaran," katanya pada sidang media di kementerian di sini, Rabu.

Mengikut pecahan, sebanyak empat notis dikeluarkan pada 1 April, 60 (2 April), 73 (3 April), 45 (4 April), 35 (5 April), 33 (6 April) dan 70 (7 April).

Alias berkata, notis itu dikeluarkan kepada peniaga untuk mereka memberikan alasan dan jawapan berhubung kesalahan mereka dalam tempoh tiga hari.

Ditanya jumlah peniaga yang didakwa setakat 1 April lalu, Alias berkata, siasatan masih dijalankan ke atas mereka yang berkenaan.

"Siasatan ini pelbagai. Kalau kita anggap mereka (peniaga) mencatut (harga), kita akan tanya kenapa naikkan harga barang.

"(Jika) dia jawab naikkan harga barang sebab dapat harga sebegini daripada pembekal. Dia akan hantar semua dokumen bekalan (sebagai pembuktian) kepada kita.

"Kemudiannya kita perlu periksa pembekal kepada peniaga itu pula. Nanti pembekal pun boleh dikenakan tindakan jika bersalah. Jadi, rantaian (siasatan) berpanjangan," katanya.

Bagaimanapun katanya, kementerian akan berusaha melengkapkan dokumen siasatan untuk dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jika Jabatan Peguam Negara putuskan sama ada kita dakwa atau tak dakwa berdasarkan siasatan kita, kita akan mengikut keputusan itu," kata Alias.

Ops Catut

Artikel Berikut

Artikel Lain