suria

Saman: Khairy Berjaya Masukkan Dapatan Tertentu Mahkamah Persekutuan

Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Isnin berjaya memasukkan dapatan tertentu Mahkamah Persekutuan dalam saman fitnah berhubung dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, membenarkan rayuan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya bagi memasukkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes saman yang difailkan Anwar.

Melalui keputusan sebulat suara, Hakim Md Raus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan serta permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya.

Hakim Md Raus, ketika membenarkan rayuan Khairy, berkata pembelaan berdasarkan "justifikasi separa" boleh diguna pakai dalam saman fitnah di Malaysia.

Hakim-hakim lain yang menganggotai panel ialah Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Ramly Ali, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy manakala Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Anwar.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa bahagian-bahagian yang Khairy boleh masukkan dalam pembelaannya ialah pendapat Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat I Anwar pada 2 September 2004.

Pada 10 Februari 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy memohon ganti rugi RM100 juta kerana Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan tersiarnya klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu 'ceramah' di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008. 

Khairy, dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Pada 9 Oktober 2013, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya dalam kes saman itu.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Ogos, 2014 dan seterusnya pada 20 Oktober tahun yang sama, Khairy mendapat kebenaran dari Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan rayuan. 

Kes saman itu belum didengar di Mahkamah Tinggi.

Khairy Jamaluddin, Anwar Ibrahim

Artikel Lain