suria

Azlin Alias: Ramah Dengan Staf, Penganalisis Ekuiti Hebat

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyiram air mawar di atas pusara Datuk Azlin Alias di Tanah Perkuburan Islam , Kg Batu 13, Jalan Cheras Kajang.

PETALING JAYA: Allahyarham Datuk Azlin Alias, seorang yang mampu membuat kakitangan awam selesa bekerja dengannya dalam menangani masalah ekonomi dan komersial.

Beliau diberi tanggungjawab menilai semua perkara ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas menjalankan tugas dengan baik dalam mengawasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi Kementerian Kewangan.

Azlin, 47, (gambar) menggunakan latihannya sebagai seorang penganalisis ekuiti untuk menganalisis dasar ekonomi dan cadangan perdagangan untuk pemahaman lebih mudah di Pejabat Perdana Menteri.

Terdapat beberapa projek besar yang harus disemak dan diperiksa oleh beliau sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihatnya dengan lebih dalam lagi.

Najib mendapatkan khidmat Azlin pada tahun 2008 semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Azlin merupakan salah seorang yang meninggalkan kariernya yang berjaya dalam sektor swasta untuk memegang salah satu jawatan penting dalam sektor awam.

"Beliau merupakan seorang yang peramah. Beliau mampu bekerja dengan baik bersama kakitangan awam," kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Zafrul Aziz.

"Azlin merupakan seorang yang tidak mementingkan diri serta tenang apabila dalam tekanan dan ini membuatkan kakitangan lain senang bekerja dengannya," tambah beliau lagi.

Azlin seorang yang tidak gemar mendapat perhatian dan beliau juga tidak memandang rendah kepada kakitangan yang lain.

Gaya rundingan yang baik membuatkan dia dinaikkan pangkat lebih cepat berbanding yang lain.

Beliau juga tidak pernah berbincang mengenai kerja ketika bersama kawannya dari sektor korporat.

"Beliau seorang yang berhati-hati dan tidak pernah mendedahkan apa-apa maklumat," kata bekas penganalisis ekuiti yang pernah bekerja dengannya.

Beliau telah dilantik sebagai ketua kakitangan pada tahun lalu apabila dilihat sebagai kakitangan penting dalam perkara yang melibatkan ekonomi.

Azlin mula menempah nama dalam sektor korporat apabila dilantik sebagai Timbalan Pengarah Urusan di Avenue Assets Bhd yang memegang banyak aset.

Zafrul yang merupakan bekas pengarah urusan telah berjaya menjalankan tugas yang diberi dengan memastikan kementerian mendapat nilai terbaik untuk syarikat tersebut bersama sama dengan Azlin sebelum ini.

Avenue Assets bergabung dengan ECM Libra Group Bhd selepas melupuskan kepetingannya dalam Pos Malaysia Bhd untuk membolehkan kementerian menyedari sebahagian daripada kos pelaburannya.

Bekas Ketua Eksekutif Avenue Assets dan Pengerusi EON Bank, Datuk Gooi Hoe Soon menerangkan, tiada kata kata yang dapat menggambarkan pemergian Azlin.

"Beliau merupakan seorang rakan tugas yang boleh dipercayai semasa berkhidmat di Avenue Assets dan keluarga kami juga rapat.

"Beliau juga seorang yang suka membantu, bertimbang rasa dan penyayang," kata Gooi yang sebak apabila menerima berita kematian Azlin.

Isteri Azlin, Datin Azlina Mahmad bekerja dalam pasaran modal dan pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata - dua lelaki dan seorang perempuan.

Azlin mencipta nama untuk dirinya apabila diiktiraf sebagai penganalisis ekuiti terbaik ketika berkhidmat di Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2002 dan memenangi anugerah Penganalisis Terbaik pada tahun 2003.

Beliau menyertai Avenue Assets pada tahun berikutnya dan berkhidmat untuk Pembangunan Korporat Teknologi Malaysia, anak syarikat Khazanah Nasional pada tahun 2005.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Bahagian Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada Mei 2008 sebelum menjadi Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada 10 Mac tahun lalu.

Walaupun hanya berkhidmat selama setahun, pemergiannya amat dirasai kerana beliau merupakan orang penting dalam sektor tersebut sebelum memegang jawatan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rakan Tuntut Mayat Aidana

Artikel Lain