suria

Maaf Berkali-Kali Rupanya Petanda JJ Akan Pergi Selamanya - Shahidan

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf berulang-kali yang diucapkan Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis rupa-rupanya menjadi petanda Ahli Parlimen Rompin itu akan pergi buat selama-lamanya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan berkata, sebagai kenalan lama kepada Jamaluddin yang lebih mesra dipanggil JJ, mereka sering bertemu dan bergurau tetapi beberapa hari lalu, rakannya itu dikatakan  berkali-kali memohon maaf.

Shahidan berkata, kali terakhir beliau bertemu JJ pada Khamis lepas ketika menghadiri sidang Parlimen.

"Dua hari terakhir, kami berbincang bagaimana nak percepatkan pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara dengan teknologi dari luar negara.

"Sebagai kawan kami suka bergurau. Tapi pada hari-hari terakhirnya, beliau banyak memohon maaf...beliau seorang yang sangat baik," katanya ketika ditemui di Masjid Negara, petang Ahad.

Shahidan hadir ke upacara pengebumian bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu di Makam Pahlawan, Masjid Negara, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa pemimpin lain.

Ditanya maksud di sebalik permohonan maaf itu, Shahidan menjawab ringkas: "Dia hanya minta maaf, memang sering minta maaf."

Menurut Shahidan, walaupun mereka rakan baik, ada kalanya perbincangan tersebut dilakukan dengan serius.

"Kami juga bincang mengenai isu negara, malahan beliau berkata isu-isu negara yang berlaku pada masa kini perlu ditangani dengan bijaksana, bukan emosi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang Sabtu, Jamaluddin, 64 yang juga Anggota Parlimen Rompin dan juga Pengerusi PR1MA serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias antara enam yang terkorban dalam nahas tersebut helikopter di Semenyih.

Empat mangsa lain ialah juruterbang, Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi, Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran dan usahawan, Datuk Tan Huat Seang.

Jamaluddin menaiki helikopter tersebut selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan perdana menteri di Pekan, Pahang.

Artikel Berikut

Saya OK - Anwar

Artikel Lain