suria

Suasana Suram Iringi Pemergian Jamaluddin Jarjis Di Makam Pahlawan

Syaikh Ismail membacakan talkin ketika pengebumian Jamaluddin di Makam Pahlawan, Masjid Negara, petang Ahad.

KUALA LUMPUR: Suasana suram dan pilu menyelubungi semua yang hadir bagi mengiringi pemergian Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, petang Ahad.

Jenazah Allahyarham yang dibawa dari kediamannya di Seri Kembangan tiba di Masjid Negara pada pukul 3.15 petang diiringi isteri, Puan Seri Kalsom Ismail dan dua anaknya termasuk yang sulung, Ikhwan Hafiz, sanak saudara dan rakan-rakan.

Sebaik tiba, jenazah dibawa ke dalam masjid oleh anggota pengusung dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) untuk dibacakan ayat suci al-Quran sebelum solat jenazah dan upacara pengebumian dijalankan.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengetuai solat jenazah dan bacaan talkin yang selesai pada pukul 5.50 petang.

Hadir sama untuk memberikan penghormatan terakhir adalah Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba pada pukul 4.25 petang bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut kelihatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang Sabtu, Jamaluddin, 64 yang juga Anggota Parlimen Rompin dan juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias antara enam yang terkorban dalam nahas tersebut helikopter di Semenyih.

Empat mangsa lain ialah juruterbang, Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi, Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran dan usahawan, Datuk Tan Huat Seang.

Jamaluddin menaiki helikopter tersebut selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan perdana menteri di Pekan, Pahang.




Artikel Sebelum

Saya OK - Anwar

Artikel Berikut

Artikel Lain