suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rujuk pakar agama jika karya ada elemen kemaksiatan… Adegan songsang tak perlu jadi bahan promosi

Babak-babak panas yang undang rasa tidak selesa penonton.

BAHAGIAN 2

PENERBITAN sesebuah drama atau filem bukan hanya sekadar wadah hiburan tetapi tertakluk kepada 'niat' mesej yang ingin disampaikan.

Jika sesebuah karya yang memaparkan adegan provokasi dan sensitif dibuat tanpa hala tuju dan bertanggungjawab, maka ia sekadar naskhah sensasi yang sia-sia dan tidak bermanfaat.

Oleh itu, paparan adegan melampau yang bertentangan dengan nilai ketimuran, moral dan hukum Islam tanpa penterjemahan visual yang tepat tidak wajar dinormalisasikan dan menjadi 'budaya' atas alasan kreativiti.

Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee anggap isu sensitif boleh menjadi sebahagian daripada jalan cerita.

Mengulas kontroversi itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, karya filem dan drama mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran, kefahaman serta persepsi masyarakat.

Namun, katanya setakat ini tiada ketetapan umum yang mewajibkan semua karya perlu dirujuk kepada pihak agensi agama terlebih dahulu.

"Rujukan agama bukan satu bentuk sekatan, sebaliknya ruang bimbingan dan khidmat nasihat supaya karya dapat dihasilkan dengan lebih yakin, tepat dan mengambil kira sensitiviti masyarakat.

 ARTIKEL BERKAITAN: Drama Melayu melampau... Pengkarya langgar batas atau penonton terpaling sensitif?

ARTIKEL BERKAITAN: Ada mesej dalam drama ‘Madu Atau Racun’, Elisya Sandha minta tonton sampai hujung episod

"Jakim juga menghargai kreativiti dan kebebasan berkarya serta sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan penggiat industri kreatif.

"Sekali gus, ia menggalakkan penggiat seni memanfaatkan kepakaran agamawan dan institusi agama supaya elemen agama dalam sesebuah karya dapat diolah secara kreatif, namun kekal beradab dan bertanggungjawab," katanya kepada mStar.

Berkenaan batas unsur kontroversi dalam drama Melayu, Sirajuddin berkata, konflik atau isu sensitif boleh menjadi sebahagian daripada jalan cerita.

Antara pelakon yang menjayakan drama bersiri Cela ialah Nabila Huda, Hun Haqeem, Zarif Ghazzi dan ramai lagi.

Namun, tambahnya perkara penting ialah cara ia digambarkan, konteks serta mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

"Perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak harus digambarkan sebagai sesuatu yang wajar, ideal atau untuk diraikan.

"Sekiranya elemen kemaksiatan, konflik atau pelanggaran nilai agama diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengajaran, ia perlu disampaikan dalam konteks yang jelas dan berhikmah," kongsinya.

Beliau turut berpendapat sesuatu perbuatan tidak semestinya perlu dizahirkan secara jelas atau terperinci bagi menyampaikan mesej kepada penonton.

Babak 'berani' Nabila Huda dan Hun Haqeem dalam 'Cela' jadi bualan netizen.

"Perkara berkaitan akidah, ibadah dan hukum-hakam juga perlu ditangani dengan teliti supaya tidak disampaikan secara mengelirukan, mempermainkan atau menimbulkan salah faham terhadap ajaran Islam," jelasnya.

Pada masa sama, ruang kreativiti tetap perlu diberikan kepada penggiat seni untuk menyampaikan konflik, realiti kehidupan dan pengajaran melalui pendekatan yang sesuai.

Jelas beliau, Jakim melihat penggiat seni sebagai rakan strategik dalam menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.

"Jakim amat menggalakkan penggiat industri untuk merujuk pakar apabila berhadapan dengan kandungan agama yang memerlukan ketelitian. Pintu Jakim sentiasa terbuka untuk perbincangan dan kerjasama," jelasnya.

Adegan songsang tak wajar jadi bahan promosi - Pakar kaunseling

Dalam pada itu, bercakap mengenai paparan babak keterlaluan termasuk amalan hubungan songsang, Prof. Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip dari Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak berkata perkara tersebut tidak wajar menjadi bahan promosi drama atau filem.

"Perkara ini satu bentuk promosi percuma dan galakan kepada orang yang ada simptom atau kecenderungan awal untuk melakukannya kerana mereka tahu teknik.

"Kena cerita tentang isu, kesan, akibat dan cara tangani bukan keterlaluan bercerita apa itu strategi, bagaimana nak buat kerana ia akan beri kesan buruk kepada masyarakat," katanya.

Pada masa sama, Dr Mohammad Aziz bersetuju paparan adegan keterlaluan termasuk babak ganas dan intim perlu disertakan dengan mesej baik sebagai teladan.

"Filem atau drama yang memaparkan keganasan, pembunuhan, pemerkosaan itu sebenarnya baik untuk beri kesedaran perkara itu wujud dan perlu disedari.

Drama bersiri Madu atau Racun merupakan lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha.

"Tetapi dengan syarat selepas memaparkan itu kena tunjuk kesan negatif terhadap pelaku dan yang menerimanya. Tidak boleh cerita keganasan tetapi tiada kesedaran, ia seperti tiada moral of the story," ujarnya.

Justeru, pihak-pihak terbabit seperti penerbit atau ahli akademik harus mengambil langkah proaktif daripada adegan sebegitu untuk diterjemahkan sebagai satu bentuk pendidikan.

"Orang ramai, ahli akademik, penerbit kena latih supaya tidak melihat simbol keganasan itu sahaja tetapi melihat sebagai pengajaran dan jangan melakukannya.

"Bantu orang yang mengalami supaya mereka dapat keluar daripada keadaan itu. Kena tingkatkan pendidikan," kongsinya.

Adegan 'panas' lakonan Elisya Sandha (kiri) dan Uqasha Senrose dalam 'Madu Atau Racun' buat penonton kurang senang.

Sebelum ini, dua karya di platform penstriman digital (OTT) menjadi bualan hangat apabila beberapa episod yang sudah bersiaran diturunkan sementara.

Tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada pihak Jakim dan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menilai dan meneliti keseluruhan jalan cerita.

Sebagai iktibar, penggiat seni, penerbit dan penyiar wajib cakna atas kontroversi yang terjadi.

Hindari senario yang sama berulang dan belajar lebih bertanggungjawab dalam berkarya serta kaedah promosi yang kena pada tempatnya.

Artikel Lain