suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Penyanyi nombor satu negara pun ada ‘haters’ apa lagi saya” - Nabila Razali lebih terbuka terima kecaman

Nabila sudah lali menerima kecaman netizen.

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali tidak menolak kemungkinan individu yang sering mengecam dirinya di media sosial sebenarnya merupakan golongan yang mengikuti perkembangan dan meminati karya yang dihasilkannya.

Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 34,  bagaimanapun enggan membuat sebarang kesimpulan berhubung perkara itu kerana bimbang kenyataannya boleh menimbulkan fitnah.

Menurut Nabila, jika penyanyi nombor satu negara sekalipun mempunyai pembenci, apatah lagi dirinya yang baru 13 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Nabila meletakkan batas atas kecaman yang diterima.

“Entah-entah mereka (netizen) orang yang sama memberi kecaman dan minat kita, saya tak tahulah.  Tak beranilah nak cakap, nanti fitnah pula.

“Tapi saya selalu berpegang, kalau penyanyi nombor satu negara pun ada ‘haters’, apatah lagi Nabila Razali. 

“Saya tidaklah membandingkan diri saya dengan penyanyi nombor satu tetapi saya yakin dalam pada membenci seseorang itu mesti ada satu perkara yang kita suka. Mungkin salah satunya mereka suka lagu-lagu saya,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semudah itu label rubbish song” - Nabila Razali ‘sekolahkan’ netizen kutuk lagu nyanyiannya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pertama kali kena ejek depan-depan muka! Nabila Razali nasihat jaga pertuturan, gurau pun ada batas

Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cukup Sampai Sini yang diadakan di The Arch Galeries, Kuala Lumpur pada petang Selasa. 

Dalam pada itu, Nabila mengakui dirinya kini lebih terbuka dalam berdepan kecaman netizen berbanding ketika awal-awal menceburi industri seni.

Katanya, terdapat beberapa komen yang pernah diterima sehingga benar-benar mengguris perasaannya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan keluarga.

“Kalau dulu terasalah. Ada sesetengah komen yang boleh buat saya terasa hati.

“Ada yang pernah cakap ‘Dia ni tak pergi kelas vokal ke?’ macam itu kita boleh cuba perbaiki tapi kalau masuk isu keluarga, ‘Mak bapa dia ni tak malu ke ada anak macam ni?’, ‘Laki dia mesti kena tahan telinga.’

Nabila melancarkan single baharu berjudul Cukup Sampai Sini.

“Kalau benda yang boleh menjatuhkan maruah keluarga, saya tak berapa gemarlah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila kini tampil dengan single Cukup Sampai Sini yang membawa mesej mengenai kepentingan mengenali nilai diri, menetapkan batas serta keberanian untuk memilih diri sendiri.

Lebih istimewa, lagu tersebut turut menjadi satu lagi langkah dalam perjalanan seninya apabila Nabila terbabit sebagai pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack.

Nabila juga menulis sendiri keseluruhan lirik lagu berkenaan.

Artikel Lain