suria

Saya OK - Anwar

KAJANG: Sungguhpun kelihatan sugul berikutan kematian bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tenang menghadapi dugaan berkenaan.

Lebih menyedihkan apabila beliau tidak sempat berada di sisi arwah bapanya, Allahyarham Datuk Ibrahim Abd Rahman kerana menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Anwar sempat bersalaman dengan orang yang berada berdekatan dengannya.

Allahyarham yang berusia 96 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 pagi Ahad.

Anwar ketika ditegur sewaktu berada di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal hanya tersenyum sambil membalas 'OK'.

"Saya OK, biasa sahaja," katanya ringkas sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Melihat kepada reaksi bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, orang ramai yang berada berdekatan tidak melepaskan peluang bersalaman dengan tokoh politik pembangkang itu.

Sepanjang hampir lima jam 'dilepaskan' dari penjara, bekas Ketua Pembangkang itu dikawal ketat anggota Jabatan Penjara yang sentiasa berada dekat dengannya.

Anwar berada di sini isteri dan anaknya.

Sungguhpun demikian, Anwar bebas bersalaman dan berbual dengan tetamu yang hadir ke upacara pengebumian bapanya itu.

Pada kesempatan yang sama, kelihatan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya.

Sesekali kelihatan Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menggosok belakang Anwar, seolah-olah untuk membantu meredakan sakit tulang belakang yang dihidapinya selepas Anwar menggunakan cangkul untuk meratakan tanah di pusara bapanya itu.

Selepas jenazah selamat dikebumikan, Anwar kemudiannya dibawa kembali ke penjara kira-kira pukul 3.17 petang.

Artikel Lain