suria

Tragedi Semenyih: Hans Isaac Hilang Tiga Sahabat

Hans Isaac
KUALA LUMPUR: Aktor dan pengarah filem, Hans Isaac kehilangan tiga sahabat ekoran nahas helikopter Eurocopter Dauphin (AS365N2) di Semenyih, pada Sabtu.

Hans berkata, beliau mengenali semua mangsa yang terkorban tetapi mempunyai lebih rapat dengan juruterbang Kapten Clifford William Fournier, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Datuk Azlin Alias.

"Saya berkawan dengan Kapten Clifford lebih kurang 20 tahun, sudah lama kenal Datuk Azlin dan rapat dengan Tan Sri Jamaluddin Jarjis sejak kebelakangan ini.


"Saya terkejut apabila seorang lagi rakan juruterbang memberitahu tentang kemalangan ini...saya antara yang paling awal tahu tentangnya petang semalam," katanya ketika hadir ke Masjid Negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Jamaluddin.

Menurut Hans, beliau dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh seorang rakan juruterbang sebuah pesawat lain yang kebetulan sedang terbang di kawasan Kajang, beberapa minit sebelum nahas petang Sabtu.

Hans berkata, rakannya itu memberitahunya tentang kejadian malang itu sebaik sahaja beliau menyaksikan sendiri helikopter terbabit terjunam sebelum terhempas.

Dilaporkan, juruterbang tersebut yang dikenali sebagai Kapten Lee sempat berkomunikasi dengan juruterbang helikopter yang terbabit nahas, tentang kedudukan dan tujuan perjalanan masing-masing, tidak lama sebelum helikopter itu terhempas.

Mengenai hubungannya dengan Jamaluddin, beliau memberitahu bahawa mereka baharu sahaja pulang bermain golf di China empat hari lalu.

"Masa itu beliau tak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan 'pergi'. Kami berborak, bergurau cara kami, ketawa dan bermain golf," katanya.

Hans berkata, walaupun baharu mengenali Jamaluddin berbanding dua rakan lain yang turut terkorban, beliau menyifatkan Jamaluddin sebagai seorang yang tegas dan tahu peranan serta tanggungjawabnya kepada negara.

"Ramai orang salah faham tentang beliau. Beliau tegas tetapi sangat baik hati. Walaupun statusnya lebih atas daripada saya, tapi beliau suka memberi tunjuk ajar," katanya.

Artikel Lain