suria

DBKL Prihatin Masalah Infrastruktur Untuk OKU

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia untuk meneliti kesulitan yang dihadapi Orang Kelainan Upaya (OKU) di ibu negara selepas mengadakan perbincangan dengan golongan itu pada Selasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, perbincangan dan pertemuan tersebut juga diadakan bertujuan bagi mengetahui kesulitan yang dihadapi golongan berkenaan kerana mereka juga terdiri daripada pengguna.

"Pertama sekali berkaitan dengan mekanisma, pengukuhan pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat atau universal design yang diluluskan kerjaaan dapat diterapkan dan diambil kira dalam perancangan pembangunan.

"Saya lihat terdapat sesetengah kontraktor tidak mengambil perhatian yang berat dalam menyediakan kemudahan untuk OKU.

"Walaupun kita mempunyai universal design, tetapi ia tidak dijelaskan kepada pihak yang mengeluarkan Certificate of Completion and Compliance (CCC)," katanya ketika hadir dalam sesi dialog bersama golongan OKU dan pihak berkepentingan di Institut Latihan DBKL di sini.

Tambah beliau, susulan daripada aduan mengenai pembangunan tidak mesra OKU, pemeriksaan dan pantauan akan dilaksanakan secara berterusan selepas ini.

"Berhubung dengan perkara itu, satu kaedah pemeriksaan dan pantauan akan dibuat dengan lebih kemas dan lancar sebelum CCC dapat dikeluarkan.

"Selain itu, unit khas juga akan dilaksanakan untuk membantu pemasalahan OKU kerana pegawai-pegawai DBKL cukup aktif dalam menjaga kepentingan mereka," katanya.

Beliau juga menyatakan pihak lain perlu turut berkerjasama dalam mengatasi masalah yang dihadapi oleh golongan ini.

"Dalam sesetengah perkara, DBKL memerlukan kerjasama oleh pihak tertentu antaranya Kementerian Pengangkutan dan kementerian lain yang bersangkutan," jelasnya.

Ahamd Phesal berkata, DBKL juga tidak menghalang OKU yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian untuk mencari rezeki kerana terdapat kumpulan telah diberikan permit seniman jalanan untuk mengadakan persembahan.

"Antara golongan OKU yang berjaya ke tahap yang tertinggi dengan mengunakan permit tersebut dalam permulaan karier ialah kumpulan 'Caliph Buskers'," tambahnya.


OKU

Artikel Lain