suria

Kebebasan Bersuara Bukan Alasan Lapor Berita Bohong

KUALA LUMPUR: Prinsip kebebasan media tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan berita palsu dan menipu pembaca, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sehubungan itu Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dan Ahli Parlimen Padang Rengas menyokong tindakan polis menahan lima kakitangan portal berita The Malaysian Insider (TMI) mengikut Akta Hasutan 1948.

"Saya rasa mereka perlu ditahan dan disoal siasat kerana wartawan tidak kebal dengan undang-undang. Ya saya percaya dengan wartawan, tetapi itu bukanlah lesen untuk menipu atau laporkan sesuatu yang tidak benar.

"Masyarakat bergantung kepada wartawan (dapatkan) berita sebab mereka percaya 100 peratus apa yang dilaporkan. Apa juga yang ditulis mestilah berasaskan fakta yang benar," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai penahanan lima kakitangan TMI termasuk penerbit akhbar mingguan bisnes, The Edge, Ho Kay Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq di bawah Akta Hasutan.

Tiga lagi kakitangan TMI yang ditahan pada Isnin ialah Pengarang Urusan, Lionel Morais, Pengarang Bahasa Malaysia, Zulkifli Sulong yang juga bekas pengarang Harakah serta Pengarang Berita, Amin Iskandar.

The Malaysian Insider kini adalah portal berita milik The Edge.

Portal berita itu telah memuat naikkan satu artikel yang menyebut bahawa Majlis Raja-Raja telah menolak pelaksanaan Hukum Hudud ketika persidangan pada  11 Mac lalu.

Artikel tersebut memetik sumber-sumber dalaman sebagai berkata.

Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menafikan perkara tersebut dan membuat laporan polis mengenainya Khamis lalu.

Mengulas mengenai Akta Hasutan yang mencetuskan pelbagai kontroversi, Nazri memberitahu, undang-undang tersebut harus dipertahankan bagi membendung masalah ini.

Tegasnya, akta itu perlu dikekalkan bagi melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu.

"Mesti ada Akta Hasutan. Kita berada dalam negara berbilang kaum, ada berbagai bahasa dan juga agama. Kita harus memastikan semua rakyat Malaysia untuk menghormati Raja-Raja Melayu yang menjadi simbol kedaulatan negara, mereka haruslah tidak terlibat dengan politik.

"Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya terlibat dengan sebarang politik dan bagi memelihara kedaulatan ini kita perlu ada Akta Hasutan. Akta Hasutan adalah akta yang betul untuk mengawal semua ini," katanya.

Malaysian Insider, The Edge

Artikel Lain