suria

250 Rumah Atas Air Kampung Bangau-Bangau Semporna Musnah Dalam Kebakaran

SEMPORNA: Kira-kira 250 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, dua jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.02 pagi.

"Bomba sampai di tempat kejadian lima minit kemudian apabila api sedang marak dan kira-kira 60 peratus rumah sudah terbakar.

"Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan masalah air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan bekalan air laut untuk memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya turut dibantu satu jentera dan enam anggota dari Balai Bomba Tawau, satu jentera dan enam anggota (balai Kunak) dan lebih 20 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Fazizul Hizam berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 6.56 pagi dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.-- Bernama

Artikel Lain