suria

Pemandu Teksi Janji Perkhidmatan Lebih Baik

PETALING JAYA: Persatuan teksi berikrar memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang seiring dengan kelulusan terkini Kabinet menaikkan kadar baharu tambang teksi.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, beliau gembira dengan kelulusan Kabinet berhubung struktur tambang baharu itu dan berharap semua pemandu teksi akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kami telah mendapat satu set standard peraturan, dan saya berharap pemandu akan berusaha untuk mematuhi semua peraturan itu dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

"Salah satu daripada peraturan utama yang perlu mereka ikuti adalah menggunakan meter dan jika perlu, mencetak resit," kata beliau sambil menambah sebarang bentuk tawar-menawar tidak dibenarkan.

Aslah menambah bahawa resit yang dicetak mempunyai semua butiran seperti caj menunggu dan kos bagi setiap kilometer.

"Kita juga menggalakkan pelanggan supaya meminta resit kerana ia adalah satu usaha ke arah meningkatkan profesionalisme pemandu," kata Aslah.

Setiausaha Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi Malaysia, Hiew Pow Man berkata kenaikan tambang itu turut memihak kepada penumpang, sebagaimana ia memberi manfaat kepada pemandu.

"Kita juga berharap kenaikan kadar akan menggalakkan lebih ramai pemandu menjaga kenderaan dan juga penumpang mereka," katanya, sambil menambah bahawa di bandar ini sahaja terdapat sekurang-kurangnya 35,000 buah teksi.

"Kadar baharu pasti akan menggalakkan pemandu untuk menggunakan meter dan ini adalah baik kerana penumpang juga tidak akan berasa seperti mereka ditipu," kata Hiew.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata agensi itu akan mematuhi keputusan Kabinet untuk menangguhkan cadangan kenaikan tambang bas dan kereta api.

Artikel Berikut

Artikel Lain