Peluang Tipis Hudud Lulus Di Parlimen - Semasa | mStar

Peluang Tipis Hudud Lulus Di Parlimen

PETALING JAYA: Usaha PAS untuk memperkenalkan undang-undang hudud memperlihatkan peluang yang tipis untuk diluluskan di Parlimen, berdasarkan jumlah ahli Parlimen parti pemerintah dan pembangkang yang membantah pelaksanaannya.

Dua rang undang-undang perlu mendapatkan kelulusan di Parlimen sebelum hudud dijadikan undang-undang iaitu - meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan meminda Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun rang undang-undang untuk Akta Mahkamah Syariah hanya memerlukan majoriti mudah untuk lulus, meminda Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Parlimen, iaitu majoriti dua pertiga.

Jumlah pemimpin MCA, MIC, Gerakan, DAP, PKR dan parti-parti di Sabah dan Sarawak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud berjumlah 111 kesemuanya.

PAS mempunyai 21 ahli Parlimen, manakala Umno masih tidak menyatakan pendiriannya, tetapi seandainya semua 88 ahli Parlimen Umno berpihak kepada PAS, ia hanya akan memberi tambahan sehingga 109 undi.

Satu-satunya ahli Parlimen dari Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar, yang ditahan dan direman semasa protes anti-GST pada Isnin tidak dapat dihubungi, tetapi ia tidak menunjukkan seperti beliau akan menyokong hudud.

Turut tidak diketahui pendiriannya adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, yang kini merupakan seorang ahli Parlimen Bebas selepas dipecat daripada PKR.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee mengesahkan bahawa sebarang pindaan kepada Perkara 76A (1) memerlukan sokongan dua pertiga.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara  Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin percaya usaha PAS akan menjadi sesuatu yang sia-sia.

Beliau berkata adalah mustahil bagi PAS untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan kerana ramai pemimpin parti berada dalam BN dan Pakatan Rakyat menentang hudud.

"Sukar juga bagi PAS untuk mendapatkan majoriti mudah," katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun semua pemimpin ahli Parlimen Umno dan PAS menyokongnya, angka itu masih lagi tidak mencukupi untuk 112 undi yang diperlukan bagi majoriti mudah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah ketika dihubungi menegaskan bahawa kedua-dua rang undang-undang hanya memerlukan majoriti mudah untuk lulus.

Beliau berkata cadangan pindaan kepada Perkara 76A (1) hanya melibatkan perubahan peruntukan tertentu.

"Terdapat pandangan yang berbeza, tetapi peguam kami dan sarjana undang-undang mengatakan bahawa perubahan tersebut tidak begitu besar, jadi hanya majoriti mudah diperlukan," katanya.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain