suria

Kerajaan Sambut Baik Rangka Kerja Strategik Suhakam

Paul Low Seng Kuan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Selasa menyambut baik Rangka Kerja Strategik bagi Rancangan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Suhakam.

Rangka Kerja itu disediakan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) hasil rundingan meja bulat dengan kumpulan ahli-ahli perniagaan, masyarakat sivil dan agensi-agensi kerajaan menerusi kumpulan-kumpulan fokus dan bengkel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata rangka kerja itu menetapkan hala tuju penting dan menyokong penggubalan Rancangan Tindakan Nasional berkenaan untuk Malaysia.

"Pejabat saya akan menyediakan kepimpinan bagi pembangunan Rancangan Tindakan Nasional itu berasaskan Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGP) yang akan juga memerlukan rundingan ekstensif dengan agensi-agensi kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat sivil. 

"Kerajaan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan sektor korporat dalam menghormati serta melindungi hak asasi manusia memandangkan pengaruh mereka yang luas dan semakin meningkat dalam kehidupan setiap rakyat biasa dan pembangunan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan. 

UNGP yang disahkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu pada 2011 menyaksikan sokongan dan penerimaan meluas oleh kerajaan-kerajaan dan perbadanan berikutan rangka kerjanya yang luas, yang turut mengiktiraf pentingnya pelaksanaan demi memenuhi keperluan dan peringkat pembangunan sesebuah negara. 

Paul Low Seng Kuan, Suhakam

Artikel Lain