suria

Kerajaan Jamin Tingkatkan Lagi Kualiti Pendidikan Negara

Idris (dua,kanan) berbual bersama penerima Anugerah Pingat Tunku 2014 sewaktu Majlis Penyampaian Anugerah Pingat Tunku di Kuala Lumpur pada Selasa. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberi jaminan untuk terus meningkatkan bidang pendidikan negara dari segi kualiti dan pencapaian akademik di semua peringkat pengajian.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara penting selaras dengan peningkatan kedudukan universiti-universiti tempatan di peringkat antarabangsa sejak 2012.

"Ia dapat dilihat menerusi kedudukan universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) yang dahulunya berada di kedudukan ke-167 namun kini berada di kedudukan ke-151 di dunia, 11 fakulti di universiti tempatan juga diiktiraf antara 100 terbaik di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pingat Tunku 2014 di Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) di sini, Selasa.

Idris berkata bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian berkenaan, kementerian itu telah melaksanakan program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang diadakan tiga tahun sekali serta ujian psikometrik di peringkat sekolah bagi meningkatkan kualiti akademik pelajar.

Pada majlis berkenaan pingat emas dianugerahkan kepada Ana Masara Ahmad Mokhtar, 24 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM); pingat perak kepada Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, 24 graduan Universiti Sains Islam Malaysia;pingat gangsa, M. Sugentiran, 27 graduan UPM dan Wong Chee Fei, 25 graduan Universiti Tun Hussein Onn.

Anugerah yang diperkenalkan pada 1979 itu ditawarkan kepada graduan cemerlang ijazah sarjana muda dengan Kepujian Kelas Pertama yang mana semua penerima berkenaan merupakan graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta  tempatan yang terpilih dan aktif dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.

Sementara itu di majlis berlainan, Idris melancarkan Tabung Buku untuk sekolah yang terjejas akibat bencana banjir sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015.

Tabung Buku adalah usaha industri buku melalui Majlis Industri Buku Malaysia dengah sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) untuk membantu sekolah -sekolah yang dilanda banjir.

Tabung Buku menyasarkan pengumpulan buku bernilai RM2 juta yang akan disumbangkan oleh penerbit dan pengedar buku di Malaysia.

Penyampaian sumbangan buku akan dilakukan sempena perasmian PBAKL 2015 yang akan berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Idris berkata buku-buku yang akan disumbangkan merupakan buku tambahan sahaja yang akan diletakkan di perpustakaan sekolah yang terjejas banjir, manakala buku-buku teks akan dibekalkan oleh kerajaan.

Mengenai PBAKL 2015 yang memasuki tahun ke-34, lebih 900 gerai akan dibuka melibatkan penyertaan penerbit dan pengedar buku dari dalam dan luar negara antaranya dari Amerika Syarikat, Mesir dan India.

pendidikan negara, Idris Jusoh

Artikel Lain