suria

Jangan Buat Spekulasi Cadangan Bentuk Kerajaan Baharu - Azmin

Azmin Ali

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung cadangan DAP ingin menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sebaliknya, Azmin berkata, biarlah Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan mesyuarat mereka dahulu sebelum PKR memberi ulasan lanjut mengenainya.

"Jangan buat spekulasi lagi, biar DAP adakan mesyuarat CEC mereka terlebih dahulu.

"Kita harus biarkan ahli CEC untuk menyelesaikan isu ini sebelum kita boleh buat sebarang respon.

"Saya percaya kepada kebijaksaan rakan-rakan dalam DAP, mereka akan melihat isu ini dengan lebih mendalam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia peringkat Selangor di Plaza Alam Sentral pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor itu berkata, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengadakan perbincangan tidak formal mengenai pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan hasilnya positif.

"Semalam pimpinan PR telah mengadakan mesyuarat tidak formal dan hasilnya positif, tidak timbul isu DAP ingin keluar Pakatan," katanya.

Beliau berkata, penubuhan kerajaan Persekutuan bukan cadangan baharu sebaliknya ia pernah dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak lama dahulu.

"Cadangan ini pernah dikemukakan untuk mewujudkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agama demi kepentingan rakyat," katanya.

Pada Ahad, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dilaporkan mencadangkan pembentukan kerajaan baharu melibatkan Ahli Parlimen di kalangan parti kerajaan dan pembangkang bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau yang dipetik Roketkini.com turut  mencadangkan pelantikan Perdana Menteri baharu dilaporkan berkata   kemelut di pihak BN dan PR semakin meruncing serta langkah untuk mengemukakan usul persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh PAS akan menimbulkan krisis Perlembagaan, khususnya jika Umno tidak menyatakan pendirian mereka dalam isu tersebut. 





Artikel Lain